SHAH ALAM: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor menjalankan pemeriksaan ke atas 62 premis terdiri daripada pembekal dan peruncit ayam bermula 13 sehingga 15 September baru-baru ini.

Pemeriksaan berkenaan dilakukan susulan situasi kenaikan harga ayam secara mendadak di pasaran pada masa kini.

Pengarah KPDNHEP Selangor, Muhamad Zikril Azan Abdullah berkata, daripada jumlah itu, 56 pemilik premis bersetuju bagi membuat penurunan harga ayam serta-merta manakala baki selebihnya pula adalah secara bersyarat.

"Mereka bersetuju secara bersyarat bagi menurunkan harga iaitu apabila pembekal dapat menjual dengan harga borong yang lebih rendah.

"Situasi pergerakan harga ayam yang menunjukkan peningkatan merupakan asas kepada sesuatu tindakan maka langkah pengeluaran Notis Pengesahan Maklumat Barangan (NPMB) di bawah Seksyen 21, Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 boleh dilaksanakan kepada pengeluar, pemborong dan peruncit ayam untuk mendapatkan maklumat terperinci yang menyumbang kepada kenaikan," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Mengulas lanjut, Muhamad Zikril berkata, peniaga yang dikesan mengambil kesempatan menaikkan harga ayam tanpa mematuhi undang-undang ditetapkan akan dikenakan tindakan di bawah Seksyen 14 (1), AKHAP 2011.

"Sekiranya disabit kesalahan, pihak terlibat boleh dikenakan denda sehingga RM500,000 bagi perbadanan atau syarikat dan RM100,000 bagi individu dan dipenjara selama tempoh tiga lebih tiga tahun atau keduanya sekali," katanya.

Dalam pada itu, Muhamad Zikril berkata, pemeriksaan yang dijalankan itu turut memberi fokus kepada aspek pematuhan menyelenggara dan menyimpan rekod perniagaan ayam sepanjang beroperasi.

Beliau berkata, pematuhan di bawah Seksyen 53 (A) amat penting bagi keperluan peniaga membuktikan kos-kos operasi perniagaan mereka dalam bentuk dokumen.

"Kegagalan peniaga mematuhi perkara ini boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 53 (A), AKHAP 2011.

"KPDNHEP Selangor juga menggunakan pendekatan pengeluaran surat pemberitahuan kepada peniaga ayam yang diperiksa untuk mendapatkan maklumat di bawah AKHAP 2011," katanya.

Tambahnya, KPDNHEP Selangor sentiasa konsisten melaksanakan pemantauan harga ayam secara harian di setiap rantaian pengedar bagi memastikan tidak berlaku sebarang manipulasi harga.

"KPDNHEP turut mengadakan sesi libat urus bersama pihak industri di sekitar Selangor untuk berbincang dan mendapatkan kerjasama supaya harga di peringkat pengeluaran anak ayam tidak berada pada paras tinggi bagi menggelakkan tekanan kepada pemborong dan peruncit," katanya.


*Berita asal di Sinar Harian