KUALA LUMPUR: Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang selesai memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul petang ini, susulan beberapa laporan polis dibuat terhadapnya berhubung ucapan didakwa berbaur hasutan sewaktu kempen Pilihan Raya Umum ke-15, bulan lepas.

Ahli Parlimen Marang itu yang tiba kira-kira 2.55 petang menaiki kenderaan pelbagai guna Toyota Vellfire berwarna putih dengan diiringi dua kenderaan, selesai memberi keterangan yang berlangsung hampir dua jam.

Abdul Hadi yang ditemui bersama peguamnya selepas memberi keterangan berkata beliau bersedia untuk menghadapi tindakan sama ada didakwa di mahkamah atau tindakan selanjutnya berhubung kenyataannya itu.

"Ini giliran saya. Nampaknya kerajaan baharu ini sangat proaktif. Saya minta supaya giliran pihak lain yang turut menyentuh (isu) sensitif melibatkan umat Islam juga disegerakan siasatannya," kata beliau kepada pemberita di IPD Sentul, di sini.

Pada 10 Nov lepas, Setiausaha DAP Kuala Lumpur Lim Lip Eng membuat laporan polis di IPD Dang Wangi mendakwa Abdul Hadi mengeluarkan kenyataan mengaitkan Pakatan Harapan (PH) dengan fahaman komunis serta antituhan dalam satu majlis di Temerloh, Pahang, semasa berkempen PRU15.

Abdul Hadi juga dilaporkan mendakwa PH dan Barisan Nasional (BN) sebagai gabungan yang mempunyai pelbagai masalah, termasuk rasuah tidak terkawal.

Sementara itu, peguam mewakili Abdul Hadi, Wan Rohimi Wan Daud berkata laporan polis dibuat ke atas Presiden Pas itu melibatkan Seksyen 505 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan melibatkan kenyataan-kenyataan yang dikhuatiri mendatangkan khianat awam dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

-- BERNAMA