KUALA LUMPUR: Keputusan untuk mempersembahkan cadangan bagi mengukuhkan penguatkuasaan dasar berhubung kalimah 'Allah' kepada Majlis Raja-Raja membuktikan komitmen Kerajaan Perpaduan melindungi kesucian Islam di samping memperkuatkan perpaduan dan keharmonian antara kaum dan agama di Malaysia.

Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Datuk Hasanuddin Mohd Yunus berkata ia juga memberi peluang untuk memperkemaskan lagi dasar sedia ada berkaitan penggunaan kalimah itu selaras dengan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

"Usaha kerajaan itu (persembahkan cadangan) membuktikan Kabinet tidak berkompromi dalam mempertahankan kesucian Islam dan kedaulatan undang-undang atau enakmen berkaitan agama Islam di negeri-negeri.

"Ini akan menjadikan penguatkuasaan terhadap penggunaan kalimah-kalimah tertentu yang hanya boleh digunakan oleh orang Islam dapat diperkemaskan dan dikuatkuasakan dengan sebaiknya," katanya kepada Bernama.

Beliau yakin apabila kerajaan membentangkan dokumen mengenai cadangan berkenaan, pengkuatkuasaannya akan lebih tegas dan jelas tanpa mengenepikan hak serta kebebasan individu bukan Islam untuk mengamalkan agama masing-masing.

"Kita tak boleh menafikan mungkin ada kelonggaran dalam penguatkuasaan oleh pihak yang diberikan kuasa, jadi melalui cadangan itu nanti, Kabinet akan beri teguran dan nasihat kepada mereka (pihak berkuasa).

"Kerajaan berada dalam track yang betul, untuk membetulkan kekeliruan dan bukti ada kebebasan orang bukan Islam mengamalkan agama masing-masing, tetapi juga 'amaran' bahawa mereka (bukan Islam) tak boleh sebarkan agama (mereka) kepada orang yang tak sepatutnya," katanya.

Terdahulu hari ini, Kabinet telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk mempersembahkan cadangan mengukuhkan penguatkuasaan dasar berhubung kalimah 'Allah' kepada Majlis Raja-Raja.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata dalam kenyataan berkata kerajaan akan sentiasa mempertahan Perlembagaan Persekutuan terutama Perkara 3 berhubung agama Islam adalah agama Persekutuan dan agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai

Perkara itu antara yang dibincangkan pada mesyuarat Jemaah Menteri hari ini berhubung keputusan Peguam Negara untuk menarik balik rayuan terhadap kes Jill Ireland Lawrence Bill berhubung bahan penerbitan yang mengandungi kalimah 'Allah'.

Pada 15 Mei lepas, Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan kerajaan Malaysia dilaporkan menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang memutuskan penganut agama Kristian boleh menggunakan kalimah 'Allah' dan tiga perkataan Arab yang lain dalam penerbitan bahan agama mereka bagi tujuan pembelajaran.

-- BERNAMA