KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) berhak memanggil mana-mana jabatan atau agensi kerajaan bagi mendapatkan penjelasan berkenaan kelewatan penerimaan tiga kapal peronda luar persisir (OPV) yang sepatutnya diterima Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata perkara itu terserah kepada PAC sekiranya mahu menyegerakan siasatan melibatkan perkara tersebut.

"Belum (tiada desakan)... PAC ini satu badan yang bebas yang diwakili Ahli-Ahli Parlimen, mewakili kerajaan dan pembangkang yang dipengerusikan oleh pembangkang.

"PAC berhak untuk memanggil mana-mana jabatan ataupun agensi kerajaan, kementerian dan sebagainya kalau ada isu yang berkaitan yang perlu mendapat penjelasan PAC, jadi terserah kepada PAC.

"Kita dimaklumkan dalam pembinaan, dan sepatutnya sudahpun siap dalam waktu terdekat ini...Jadi kita tunggulah, saya pun tidak mendapat gambaran lanjut dan perincian tentang OPV tersebut," katanya ketika ditemui selepas Majlis Kemuncak Semarak Patriotik Institusi Pengajian Tinggi 2022 di sini hari ini.

Ismail Sabri berkata demikian ketika diminta mengulas berkaitan kelewatan pembinaan dan penerimaan OPV serta jika ada desakan supaya PAC menyegerakan siasatan terhadap OPV.

Maritim Malaysia dalam kenyataan pada 13 Sept memaklumkan tiga OPV yang sepatutnya diterima agensi itu pada 2020 masih dalam pembinaan.

Ketua Pengarah Maritim Malaysia Laksamana Maritim Datuk Mohd Zubil Mat Som dalam kenyataan sama berkata kapal OPV itu sedang dibina oleh syarikat tempatan iaitu THHE Destini Sdn Bhd yang terletak di Pulau Indah, Selangor.

-- BERNAMA