KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said menjelaskan beliau telah memberi jawapan secara lisan di Dewan Rakyat pada 23 Feb lepas berhubung isu kebocoran penyiasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali dan hasil siasatannya.

Menerusi satu kenyataan di sini malam Khamis, beliau berkata perkara itu telah dibangkitkan Ahli Parlimen Tenggara Manndzri Nasib dan Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan pada persidangan tersebut.

Azalina berkata beliau telah menjelaskan bahawa SPRM melalui surat bertarikh 21 Feb lepas telah memaklumkan bahawa satu laporan siasatan suruhanjaya itu terhadap Mohd Nazlan telah dikemukakan kepada Ketua Hakim Negara berhubung pelanggaran Kod Etika Hakim 2009.

"Saya juga telah memaklumkan dalam Dewan Rakyat bahawa perkara ini tertakluk kepada keputusan Yang Amat Arif Ketua Hakim Negara selaras Fasal-Fasal 3 dan 3A Perkara 125, Perlembagaan Persekutuan.

"Seperti mana yang saya tegaskan sebelum ini di dalam Dewan Rakyat, apa-apa perkara berkaitan ini adalah di bawah bidang kuasa Badan Kehakiman.

Kerajaan senantiasa menghormati dan terus berpegang kepada prinsip doktrin pengasingan kuasa," katanya.

-- BERNAMA