BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak membalas secara sinis kenyataan yang dikeluarkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkaitan cadangan kepada kerajaan dalam menyelesaikan isu yang dihadapi rakyat.

Ia juga termasuk isu berkaitan membendung kenaikan harga selain memastikan bekalan makanan dan keperluan mencukupi.

Menurut Najib, Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu seharusnya memaklumkan perkara tersebut kepada barisan pemimpin yang juga terdiri daripada ahli, bekas dan lantikan parti tersebut.

“Harap MPT Bersatu akan maklumkan perkara ini kepada Pengerusi Majlis Pemulihan Negara, Menteri kanan Ekonomi, Menteri Ekonomi, Menteri Kewangan, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi serta Menteri Pertanian dan Industri Makanan,” katanya dalam satu hantaran di Facebooknya pada Khamis.

Pada Khamis, Bersatu berpendirian bahawa kerajaan mesti mengambil langkah komprehensif untuk membendung kenaikan harga dan memastikan bekalan barangan makanan serta keperluan harian mencukupi.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, fokus utama mesti diberikan kepada usaha-usaha untuk membantu rakyat terutamanya golongan berpendapatan rendah.


*Berita asal disiarkan di Sinar Harian