KUALA LUMPUR: Isu kewarganegaraan di negara ini sewajarnya diberikan hak secara adil tanpa mengira jantina.

Senator Datuk Seri Zurainah Musa ketika membahaskan perkara itu di Dewan Negara menegaskan, hak kewarganegaraan yang dilihat memberi kelebihan kepada hanya warganegara lelaki seolah-olah menampakkan wanita tidak begitu penting.

Dalam masa sama, beliau sekali lagi menyeru agar Kementerian Dalam Negeri (KDN) menyatakan komitmen untuk membawa pindaan Perlembagaan kepada Parlimen.

"Ini berbeza layanan bagi anak-anak yang lahir di luar negara kepada lelaki yang berwarganegara Malaysia, dan wanita yang bukan berwarganegara Malaysia, di mana mereka akan menerima kewarganegaraan secara automatik.

"Tetapi kenapa kita boleh lakukan untuk warganegara lelaki tetapi tidak boleh kita lakuka perkara yang sama untuk warganegara wanita?

"Perkara ini jelas dan menjejaskan reputasi negara kita, iaitu seolah-olah Malaysia beranggapan wanita tidak seperting lelaki, walhal kesaksamaan jantina dalam Perlembagaan jelas disebut," katanya di Dewan Negara, hari ini.

Terdahulu, Zurainah membawa usul tersebut ekoran keputusan Mahkamah Rayuan pada 5 Ogos lalu, yang memutuskan anak wanita Malaysia yang lahir di luar negara tidak diberikan kewarganegaraan Malaysia secara automatik, berbeza dengan lelaki.

Sementara itu, KDN ketika sesi penggulungan usul tersebut berpendirian untuk tidak mengulas lanjut berhubung isu berkenaan kerana terikat dengan perundangan sedia ada.

Timbalan Menterinya, Datuk Seri Ismail Mohamed Said berkata, pihak-pihak terlibat juga mempunyai hak untuk memfail rayuan di Mahkamah Persekutuan.

"Kes ini baru diputuskan dan pihak-pihak terlibat masih lagi mempunyai hak untuk membuat rayuan. Pihak yang terlibat ialah kerajaan Malaysia di dalam kes Suriani Kempe dan Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara di bawah KDN.

"Saya nak nyatakan, bagi pihak KDN kita terikat dalam bentuk undang-undang negara dan Peraturan Mesyuarat. Saya tidak boleh mendedahkan apa-apa selagi kes mahkamah ini tidak diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan.

"Saya harap semua Yang Berhormat Senator bersabar...," ujar beliau.

Dalam pada itu, Yang di-Pertua Dewan Negara, Tan Sri Rais Yatim berkata, usul kewarganegaraan kanak-kanak lahir di luar negara bukan bertujuan untuk mencabar kewibawaan mahkamah kerana ia tidak berunsur subjudis.

"Ini boleh dianggap sebagai satu peringatan kepada negara, pihak-pihak berkuasa bahawa hak yang ada di bawah Perlembagaan Perkara 8, jangan diambil ringan.

"Sebab itu sementara kementerian membuat penelitian, sementara pihak kehakiman membuat persiapan, kita sebagai ahli-ahli Dewan Negara sudah mula masuk ke dalam satu arena yang baharu iaitu kita prihatin terhadap hak-hak rakyat di luar sana," katanya.

Pada 5 Ogos lalu, Mahkamah Rayuan dalam keputusan majoriti 2-1 memutuskan bahawa kanak-kanak yang dilahirkan di luar negara oleh ibu warganegara Malaysia yang berkahwin dengan warga asing, tidak berhak mendapat kerakyatan Malaysia dari segi undang-undang.