KUALA LUMPUR: Seorang bekas pengarah urusan berkaitan projek kapal tempur pesisir (LCS) yang menimbulkan kontroversi dijangka bakal didakwa  esok.

Ia susulan satu jemputan media oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang dikeluarkan pada Isnin yang memaklumkan seorang individu bakal didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada jam 9 pagi Selasa.

Makluman ini menyusul selepas beberapa laporan media sebelum ini yang menyatakan seorang pegawai berpangkat tinggi dari syarikat yang terpalit dengan skandal berkenaan bakal berdepan dengan tuduhan pecah amanah.

Terdahulu, SPRM pada Khamis mengesahkan sudah melengkapkan kertas siasatan terhadap beberapa individu yang mempunyai kaitan dengan dakwaan penyelewengan pengendalian projek LCS berkenaan.

SPRM juga memaklumkan, kertas siasatan berkenaan telah dikemuka kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk tindakan lanjut.

Projek LCS mula mencuri tumpuan apabila Jawatankuasa Kira-kira Wang (PAC) mendedahkan bahawa kira-kira RM6 bilion telah dibelanjakan, namun tidak ada satu kapal pun yang telah disiapkan.

Menerusi laporan tersebut PAC mendedahkan sembilan prosiding berhubung isu LCS bermula 18 Nov 2020 mendapati tiada satu kapal LCS telah disiapkan walaupun kontrak projek itu yang diberikan secara rundingan terus bernilai RM6.083 bilion itu memperuntukkan lima kapal seharusnya disiapkan dan diserah setakat Ogos 2022.

Projek ini adalah merupakan perolehan terbesar dalam sejarah Kementerian Pertahanan, dengan kos keseluruhan RM9 bilion.

Kontrak bagi projek kapal berkenaan telah bermula 2013 dan sepatutnya siap dalam tempoh 10 tahun.