SHAH ALAM: Datuk Seri Najib Tun Razak mendedahkan Syarikat Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) yang kini hangat diperkatakan susulan isu pemerolehan kapal tempur pesisir (LCS) sebenarnya berjaya menyelamatkan 'projek sakit' semasa zaman bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Dalam pendedahan terbaharunya, bekas Perdana Menteri keenam itu menyatakan kerajaan melalui syarikat Boustead milik Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) terpaksa bailout (menyelamatkan) projek pembinaan 27 buah kapal peronda generasi baharu (NGPV) dengan membeli kepentingan saham majoriti dalam syarikat PSC-Naval Dockyard pada Disember 2005.

"Pada tahun 1991, Limbungan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) telah dikorporatkan oleh kerajaan PM4 (Dr Mahathir).

"Lalu ia dijual pada tahun 1995 kepada syarikat swasta, Penang Shipbuilding & Construction Corporation (PSC) untuk menjadi syarikat PSC-Naval Dockyard.

"Pada tahun 1998, kerajaan memberi kontrak pembinaan untuk 27 buah NGPV dengan anggaran bajet sebanyak RM30 bilion kepada syarikat swasta tersebut.

"Fasa pertama melibatkan pembinaan enam kapal pertama dengan kos RM6 bilion. Namun, kontrak ini gagal dan tiada satu kapal pun diserahkan oleh PSC-Naval Dockyard sehingga Jun 2005," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Jelas Najib, disebabkan itu, kerajaan melalui syarikat Boustead milik LTAT terpaksa bailout projek itu dengan membeli kepentingan saham majoriti dalam syarikat PSC-Naval Dockyard pada Disember 2005.

Syarikat itu kemudiannya dijenamakan semula menjadi syarikat Boustead Naval Dockyard Sdn Bhd.

"Biarpun BNS terbeban dengan cabaran hutang dan masalah legasi PSC-Naval Dockyard, ia berjaya menyelamatkan projek tersebut dan menyerahkan enam kapal NGPV antara tahun 2006 hingga 2010.

"Masa itu, TLDM dan kerajaan tidak lagi berhasrat untuk meneruskan pembinaan baki 21 buah kapal NGPV yang bernilai sekitar RM24 bilion dan memilih untuk menggantikan projek ini dengan projek LCS yang menjadi kontroversi besar hari ini.

"Sebab itu, letter of award diberi pada tahun 2011 untuk membenarkan BNS mula berunding dengan TLDM dan vendor untuk memajukan projek LCS dan untuk terus membina kebolehan serta kepakaran dalam industri pertahanan negara," jelasnya.

Tambah Najib, kontrak akhir untuk membina enam buah kapal LCS yang jauh lebih besar dan canggih berbanding NGPV hanya ditandatangani pada Julai 2014, dimana pembinaan fizikal kapal LCS hanya bermula pada Januari 2015.

Katanya, BNS memang akan mencatat keuntungan sekiranya diberi kontrak pembinaan enam buah kapal LCS.

"Seperti didedahkan laporan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) dan CEO LTAT (Datuk Ahmad Nazim Abdul Rahman), syarikat BNS telah menggunakan RM400 juta daripada bayaran pendahuluan bagi projek LCS untuk menjelaskan hutang lapuk bagi projek NGPV," katanya.  -- Sinar Harian