KUALA LUMPUR: Lelaki dikenali sebagai 'The Hood Man' (Abdullah) yang membongkar ketidakpatuhan prosedur operasi standard halal sembelihan di Thomas Foods International (TFI) Lobethal, Australia mendakwa telah menerima ancaman bunuh.

Menurut Abdullah, dia menerima ancaman itu selepas membuat pembongkaran berkenaan.

“Saya tidak takut kepada sesiapa, saya hanya takut kepada ALLAH sahaja. Saya lakukan semua ini bagi menyelamatkan umat Islam.

“Saya telah diancam bunuh oleh beberapa pihak selepas melaporkan perkara ini. Saya melaporkan kes ini dengan kerelaan hati, bukan mahu menerima apa-apa anugerah,” katanya ketika mengadakan sidang akhbar secara dalam talian pada Rabu.

Tambah Abdullah, dia juga menerima pelbagai panggilan yang menyamar selaku pegawai Jabatan Kemajuan Islam (Jakim).

“Apabila saya meminta untuk mengemukakan bukti pengenalan, mereka tidak memberikannya.

“Saya terima sahaja sekiranya terdapat pegawai Jakim yang mahu bertemu, tetapi pegawai yang sah sahaja. Bukan yang tipu,” katanya.

BACA: Individu dedah kepincangan SOP sembelihan di Australia masih gagal dihubungi - Idris Ahmad

BACA: Integriti halal: Pekemas gesa gantung lesen SICHMA, siasat pegawai Jakim

Pada Selasa, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad berkata, lelaki yang dikenali sebagai Abdullah yang memberi maklumat berkenaan kes itu sudah tidak dapat dikesan bagi membantu siasatan.

Menurut Idris, sebelum ini lelaki berkenaan memberi keterangan kepada Pegawai Atase Halal Jakim di Australia dan selepas itu individu berkenaan tidak dapat dihubungi.

Mengulas isu ini, Presiden Pertubuhan Kemasyarakatan Rakyat (Pekemas), Faizan Mohd Nor mendakwa, setakat ini, masih tiada pegawai Jakim yang berhubung dengan Abdullah untuk bertemu.

Dalam masa sama, Faizan berharap agar Idris dapat memastikan keselamatan Abdullah untuk memberi keterangan berada dalam keadaan yang baik.

“Harap Menteri Agama dapat bertanggungjawab kalau mahu Abdullah beri keterangan. Kita risau keselamatan dia tidak terjamin,” katanya.

Integriti halal | Pekemas gesa gantung lesen SICHMA, siasat pegawai JAKIM


*Artikel asal disiarkan di Sinar Harian