PAS Pusat menunda mesyuaratnya yang akan membincangkan kedudukan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor ke 13 Ogos ini.

Lidah rasmi PAS, Harakahdaily melaporkan, Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali memaklumkan perkara berkenaan petang tadi.

Mustafa dilaporkan berkata masa dan lokasi mesyuarat AJK PAS Pusat pada 13 Ogos itu tetap tidak berubah.

Sebelum ini, PAS Pusat menetapkan 10 Ogos untuk mengadakan mesyuarat bagi membincangkan perkara tersebut.

Sementara itu, The Malaysian Insider melaporkan Mustafa berkata keputusan mengubah tarikh mesyuarat itu dibuat untuk disesuaikan dengan keperluan semasa.

"Kita perlu ubah untuk sesuaikan dengan keperluan semasa," Mustafa dipetik sebagai berkata oleh The Malaysian Insider.

Penangguhan mesyuarat PAS Pusat ini dilihat sebagai satu usaha untuk mengelak perpecahan dalam Pakatan Rakyat dan PAS akibat kemelut politik di Selangor.

Isu penyingkiran Abdul Khalid menyebabkan timbul pergeseran dalam PAS hingga timbul desas-desus bahawa parti itu mungkin akan keluar dari Pakatan Rakyat.

Abdul Khalid yang cuba disingkirkan oleh PKR mendapat sokongan dari Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Majlis Syura Ulamaknya.