SHAH ALAM: Syarikat konsesi Menara Kuala Lumpur, Hydroshoppe Sdn Bhd akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang terlibat menyebarkan maklumat palsu atau berunsur fitnah terhadap Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd atau pengarah syarikat berkenaan.

Menurut Hydroshoppe Sdn Bhd, pihaknya memandang serius penyebaran maklumat palsu atau fitnah yang dilemparkan dan akan menjalankan siasatan lanjut mengenai isu berkenaan.

"Tindakan undang-undang akan diambil terhadap pihak yang terbabit dan kami akan menuntut kerugian dan kerosakan. Kami juga akan bekerjasama dengan Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) berhubung isu ini.

"Kami ingin menekankan bahawa semua rundingan membabitkan isu Menara Kuala Lumpur mendapat kelulusan lembaga pengarah dan melalui cara yang sewajarnya," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Syarikat berkenaan juga akan berhubung dengan Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berhubung perkara itu untuk menjelaskan keadaan.

Isu penjualan saham dalam Menara KL Sdn Bhd telah dibangkitkan di media sosial.

Kelmarin, Fahmi berkata, beliau memandang serius isu yang dibangkitkan di media sosial dan akan meneliti pengambilalihan pengurusan Menara KL daripada TM oleh syarikat Hydroshoppe.

Beliau turut mengesahkan, sudah menerima taklimat terperinci berkaitan konsesi pengurusan Menara KL daripada kementerian pada 14 Disember lalu dan akan menerima satu taklimat menyeluruh berhubung perkara ini daripada TM pada 3 Januari ini.

Susulan itu, menurut TM pihaknya memutuskan untuk tidak lagi memegang konsesi bagi pengurusan Menara KL kerana mahu menumpukan kepada perkhidmatan telekomunikasi.

Jual saham Menara KL: SPRM mulakan siasatan, tiga saksi dipanggil

Pada masa sama, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga telah memulakan siasatan dilapor telah memanggil tiga saksi dan mendapatkan sejumlah dokumen dari pihak berkaitan. - Sinar Harian