JOHOR BAHRU: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menzahirkan rasa kecewa terhadap Kementerian Dalam Negeri (KDN) kerana enggan menyemak semula syarat ketat Program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) yang ditetapkan baru-baru ini.

Baginda menerusi hantaran di media sosial bertitah, akan membangkitkan perkara itu secara peribadi kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam tempoh terdekat.

“Ini memandangkan Johor merupakan antara destinasi popular MM2H, selain sumbangan program berkenaan kepada pendapatan negeri,” titah Baginda. 

Baginda Tuanku Sultan bertitah Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin sebelum ini menyatakan bahawa kerajaan akan menyemak semula syarat ketat Program MM2H.

BACA: Kerajaan perlu semak semula syarat ketat program MM2H - Sultan Johor

“Namun, apa yang kita dengar di Parlimen hanyalah janji untuk mempertimbangkan permohonan peserta MM2H berdasarkan kes demi kes, dan ini adalah di luar jangkaan dan sesuatu yang mengecewakan.

“Jika keselamatan adalah justifikasi utama untuk kriteria baharu, maka pihak Kementerian hanya perlu membatalkan visa pemegang pas MM2H yang didapati melakukan kesalahan, dan bukannya melibatkan semua peserta,” titah Baginda kepada Royal Press Office (RPO) pada hari Jumaat.

Sultan Ibrahim bertitah keputusan berkenaan hanya akan membawa implikasi negatif, memandangkan Program MM2H sebelum ini membawa kesan positif kepada ekonomi negara.

“MM2H merupakan satu program yang memberi kesan baik kepada ekonomi Malaysia dan begitu juga kepada rakyat serta kerajaan.

"Jika sekarang kita mengenakan syarat ketat hingga memberi kesan kepada peserta, dikhuatiri kelak akan menjejaskan imej negara di mata dunia,” tegas Sultan Johor.

“Saya berharap perkara ini akan mendapat perhatian serta pertimbangan dari kerajaan tanpa membuat keputusan drastik terhadap program ini,” titah Baginda.