KOTA BHARU: Bekas Exco Kerajaan Kelantan, Datuk Husam Musa mendakwa pembalakan dan penerokaan kawasan hutan di Kelantan sudah menjangkau kawasan lebih 600,000 ekar setakat ini.

Husam yang kini menerajui badan bukan kerajaan (NGO) dikenali 'Save Kelantan' berkata, anggaran keluasan penerokaan itu diperolehi hasil semakan selain pemantauan melalui imej satelit, dron serta peranti lain.

Husam mendakwa, jumlah tersebut direkodkan bermula tahun 2000 hingga 2019 atau selama 19 tahun.

"Satu kawasan seluas 600,000 ekar bukan satu isu kecil, kalau saudara bayangkan, 1,000 ekar hasilnya RM 9 juta, saudara kali dengan 600,000 ekar berapa kehilangan kekayaan negeri Kelantan," katanya.

Beliau yang kini menjadi ahli biasa parti Amanah memaklumkan, amalan pembalakan yang dilaksanakan Kelantan adalah secara terpilih.

Namun dakwanya, daripada jumlah 600,000 ekar itu, sejumlah 240,000 ekar telah menjadi ladang atau pembalakan secara penerokaan tanah dan pembukaan ladang.

"Apabila kita ambil gambar satelit, ambil dron, orang mula faham luasnya hutan Kelantan sudah jadi padang pasir.

"Apabila orang nampak padang pasir, baru orang tahu hutan kita macam mana," katanya.

Melalui sepucuk surat yang dihantar kepada Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan pada 28 Mac lepas, Husam meminta penjelasan berhubung perkara tersebut.

Surat itu antara lain merujuk kepada cadangan pembentangan laporan penuh kemajuan projek ladang hutan di dalam hutan simpan kekal dan impak alam sekitar ekonomi, sosial dan ekologi.

Save Kelantan yang diwujudkan sebagai sebuah NGO yang mendedahkan kegagalan kerajaan Kelantan termasuk melibatkan isu semasa antaranya masalah air, tanah dan lain-lain.

Husam menjelaskan, Save Kelantan bukannya pertubuhan politik sebaliknya satu gerakan yang membawa suara rakyat Kelantan membabitkan pelbagai isu semasa.