Isu pembunuhan Khashoggi: Hubungan Malaysia-Arab Saudi kekal kukuh

Bernama
Oktober 21, 2018 22:19 MYT
Agensi Akhbar Saudi melaporkan pada Sabtu, Arab Saudi mengakui Khashoggi (gambar) dibunuh di dalam konsulatnya di Istanbul. - Gambar fail
Hubungan dua hala Malaysia dengan Arab Saudi kekal kukuh, walaupun komuniti antarabangsa memberi tekanan terhadap Riyadh susulan pembunuhan wartawan, Jamal Khashoggi.
Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah berkata Malaysia tidak campur tangan dalam isu itu dan beliau percaya Arab Saudi mampu menyelesaikannya.
"Ketika ramai rakyat kita terkorban dalam tragedi pesawat Malaysia Airlines MH17, Malaysia kekal dengan pendirian untuk melihat hasil siasatan penuh.
"Dalam semangat yang sama, oleh kerana siasatan (terhadap kematian Khashoggi) sudah dimulakan, kita tunggu sahaja siasatan itu selesai," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Perundingan Mengenai Dasar Luar Negeri (CCFP), di sini pada Ahad.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai pendirian Malaysia ketika komuniti antarabangsa memberi tekanan kepada Arab Saudi dengan beberapa negara dilaporkan membatalkan penyertaan dalam persidangan pelaburan Arab Saudi di Riyadh susulan pembunuhan Khashoggi.
BACA: Misteri kehilangan Jamal Khashoggi: Saudi tolak ancaman negara Barat
BACA: Trump buat kesimpulan Khashoggi sudah 'mati'
VIDEO: CNN lapor mayat Jamal Khashoggi dikerat kepada beberapa bahagian
Pada Sabtu, Agensi Akhbar Saudi melaporkan Arab Saudi mengakui Khashoggi dibunuh di dalam konsulatnya di Istanbul.
Menurut laporan itu perbincangan di antara kolumnis akhbar Washington Post itu dan pihak yang ditemuinya di konsulat tersebut berubah menjadi satu pergaduhan yang membawa kepada kematiannya.
-- BERNAMA
#Arab Saudi #bunuh #campur tangan #Istanbul #Jamal Khashoggi #kematian #komuniti antarabangsa #konsulat #Malaysia #Saifuddin Abdullah #siasatan #tekanan