KUALA LUMPUR: Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) mendesak tiga individu direhatkan berhubung isu pemilikan saham Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki.

Ia katanya, bagi memberi ruang kepada siasatan penuh oleh badan bebas yang tiada kaitan dengan SPRM.

Selain Azam, mereka yang perlu direhatkan adalah Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) Tan Sri Abu Zahar Ujang dan Pengerusi Panel Perundingan Dan Pencegahan Rasuah (PPPR) SPRM Tan Sri Borhan Dolah.

Menurut Majlis Presiden PH, kenyataan media dibuat enam ahli LPPR berhubung kes itu amat mengejutkan.

"Ia membuka mata seluruh negara kepada kepincangan yang berlaku dalam proses siasatan terhadap dakwaan pemilikan saham Azam. 

“Jelas, SPRM atau badan penasihat SPRM tidak boleh melakukan siasatan terhadap Ketua Pesuruhjaya sendiri.

"Dan siasatan oleh badan bebas yang tiada kaitan dengan SPRM amat diperlukan,” kata Majlis Presiden PH dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, kenyataan enam ahli LPPR itu bukti paling kukuh Pengerusi LPPR tidak diyakini dan tidak dipercayai ahlinya, justeru Abu Zahar perlu direhatkan sehingga siasatan penuh terhadap Azam selesai.

Majlis Presiden PH mendesak agar Borhan turut direhatkan kerana didakwa enggan bertindak menyiasat Azam yang mungkin melakukan kesalahan dengan membenarkan akaun sahamnya digunakan adiknya secara proksi, berkaitan perdagangan jutaan saham dan waran.

“Perlu ada pimpinan baru yang bersih, profesional dan bebas untuk mengetuai LPPR dan PPPR SPRM agar kewibawaan, integriti dan kredibiliti SPRM dapat dipulihkan semula,” kata Majlis Presiden PH.

Ia juga menyifatkan kenyataan media tiga Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM yang menyatakan sokongan terbuka terhadap Ketua Pesuruhjaya sesuatu yang janggal.

Tindakan itu menyerupai tingkah laku ahli politik dalam sesebuah parti politik, bukannya agensi terhormat seperti SPRM, katanya.

“Sebagai penjawat awam, ketiga-tiga pegawai kanan ini patut tahu bahawa kenyataan mereka boleh ditafsir sebagai percubaan mempengaruhi proses siasatan terhadap Ketua Pesuruhjaya, dan mengandungi tuduhan serius yang menimbulkan pelbagai tanda tanya,” kata majlis itu lagi.

Majlis Presiden PH turut mengulangi pendirian bahawa satu sidang khas Parlimen perlu diadakan segera untuk merunding dan membincangkan isu yang amat penting ini, sebaiknya sehari sebelum atau selepas sidang khas berhubung isu banjir pada 20 Jan nanti.