KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) masih meneruskan siasatan terhadap Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkait pemilikan saham atas nama beliau.

Perkara itu disahkan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin dalam jawapan lisan di Dewan Rakyat.

"PDRM masih meneruskan siasatan berhubung isu pemilikan saham di atas nama Tan Sri Azam Baki, berkait Dang Wangi report 396/2022 bertarikh 6 Januari 2022, dengan membuka Kertas Enkuiri Polis (KEP).

"Setakat ini, siasatan masih berterusan. Sehubungan itu, Kementerian tidak berhasrat untuk mengulas lebih lanjut berhubung kes ini supaya tidak mengganggu siasatan yang masih berlangsung," memetik jawapan bertulis bertarikh 2 Mac 2022.

SEMUA ANDA PERLU TAHU BERHUBUNG AZAM BAKI 



Hamzah menjawab soalan Ramkarpal Singh (PH-Bukit Gelugor) yang mahu tahu jika siasatan terhadap Azam berkenaan isu pemilikan saham atas namanya masih berjalan, biarpun Suruhanjaya Sekuriti (SC) sudah memuktamadkan dan menutup siasatan.

SC sebelum ini mengumumkan bahawa siasatannya tidak dapat memastikan secara konklusif Azam melanggar undang-undang berhubung pemilikan sahamnya mengikut Seksyen 25(4) Akta Perindustrian Sekuriti (Depositori Pusat) 1991 (SICDA).

Namun, SC juga menjelaskan bahawa Azam mempunyai "kawalan" ke atas akaun dagangannya sendiri dan telah menggunakannya untuk berdagang saham.