KUALA LUMPUR: Isu pawagam yang belum dibenarkan beroperasi telah dibawa ke Majlis Keselamatan Negara (MKN), menurut Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa.

Memetik ciapan Golden Screen Cinemas @GSCinemas yang memohon orang ramai mencadangkan pengoperasian semula pawagam kepada Annuar, beliau memaklumkan kerajaan bakal mengumumkan sesuatu berkaitan industri itu dalam masa terdekat.

"Ya, saya sedar keadaan pawagam-pawagam di Malaysia dan saya sudah bawa isu ini ke MKN bersama isu-isu lain berkenaan industri kreatif. Insya-Allah kerajaan akan mengumumkan sesuatu tidak lama lagi," katanya menerusi ciapan itu.

Ciapan GSC yang meminta orang ramai mencadangkan pengoperasian semula pawagam itu adalah susulan inisiatif Annuar membuka ruangan di akaun Twitternya bagi orang ramai menyuarakan cadangan untuk menambah baik kementerian itu.

Persatuan Pemamer Filem Malaysia (MAFE) pada Rabu memohon kerajaan mempertimbangkan supaya pawagam dibenar beroperasi semula dan dibuka kepada mereka yang telah lengkap vaksinasi COVID-19.

MAFE menerusi kenyataan memaklumkan pengusaha kini menanggung kerugian melebihi RM600 juta selepas pawagam ditutup lebih setahun sejak Mac 2020 dengan lebih 20,000 pekerja industri turut terjejas.

-- BERNAMA