Pas menyerahkan sepenuhnya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk membawa kertas siasatan kepada Timbalan Pendakwa Raya (DPP) berhubung pembayaran cek berjumlah RM1.4 juta kepada pengarang Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown.

Bagaimanapun, Timbalan Mursyidul Amnya, Datuk Ahmad Yakob percaya bahawa Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang tetap bertegas tidak akan membuat sebarang pembayaran kepada Clare.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan SPRM yang akan menyerahkan kertas siasatan kepada DPP, selewat-lewatnya minggu depan.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki berkata, setakat ini laporan kertas siasatan itu kini sudah berada di peringkat akhir.

Dalam perkembangan lain, Ahmad turut mempertahankan kenyataan Abdul Hadi yang menyifatkan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai seorang yang tegas.

Katanya, tidak timbul soal bodek-membodek sebaliknya kenyataan yang dibuat oleh Abdul Hadi adalah benar.

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam berkata PAS tidak perlu membodek Perdana Menteri.