KUALA LUMPUR: Menteri Pengangkutan Anthony Loke dijangka bertemu Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki pada Selasa untuk membincangkan isu laporan salah laku petugas jabatan di bawah kementerian itu.

Loke berkata beliau telah menerima laporan (dalaman) mengenai kes-kes itu yang telah diselesaikan, bagaimanapun beliau mengakui terdapat kes tertunggak.

"Saya akan berjumpa dengannya (Azam) mengenai isu yang beliau ingin bangkitkan dan saya menghargai jika beliau boleh memberikan maklumat lanjut," katanya di luar acara Persidangan Undang-undang dan Perniagaan Maritim 2023 hari ini.

Semasa ditanya mengenai kes-kes berkenaan, beliau berkata kebanyakan kes melibatkan Jabatan Pengangkutan Jalan, dan ada kes telah diselesaikan menerusi tindakan tatatertib dan sebagainya.

Persidangan dua hari itu dianjurkan Persatuan Undang-undang Maritim Antarabangsa Malaysia (IMSML).

Loke berkata beliau akan mendapatkan pandangan Azam mengenai isu salah laku di pejabat menteri dan bagaimana untuk mengurangkan risiko terdedah kepada isu-isu yang melibatkan integriti.

-- BERNAMA