SHAH ALAM: Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) akan memanggil penyedia perkhidmatan Telegram dalam masa terdekat bagi membincangkan pelbagai isu membabitkan aplikasi itu terutama berkaitan keselamatan pengguna.

Menteri berkenaan, Fahmi Fadzil berkata, walaupun Telegram merupakan medium komunikasi yang digunakan ramai, termasuk Majlis Keselamatan Negara, bagi menyebarkan maklumat kepada orang ramai namun kerajaan tidak akan berkompromi dengan isu berkaitan keselamatan awam.

"Telegram ini memang kita lihat agak bermasalah, macam-macam maklumat ada dimasukkan di situ dan aktiviti penipu juga banyak tetapi pada masa yang sama, kita tahu ia adalah satu saluran untuk sampaikan maklumat kepada khalayak awam contohnya oleh MKN," katanya kepada pemberita selepas menghadiri program Townhall Rakyat bersama Fahmi Fadzil anjuran Sinar Harian, di sini, malam tadi.

Beliau berkata, justeru, perkara itu perlu diteliti dan pihaknya akan memanggil pihak Telegram bagi berbincang untuk membantu usaha pihak berkuasa mengambil tindakan sewajarnya di bawah undang-undang sedia ada.

"Ia bukan hanya terhadap penipu tetapi juga sekiranya ada sebarang bahan lucah dan ekstremisme di Telegram contohnya, perkara ini perlu dibendung dan akan dibendung pada kadar segera," katanya.

Fahmi berkata, beliau melihat perkara itu sebagai sesuatu yang serius serta perlu ditangani segera dan berharap Telegram dapat memberi kerjasama kepada KKD seperti penyedia perkhidmatan lain sebelum ini.

"Saya percaya para pegawai kementerian telah menghubungi mereka dan saya sedang menunggu maklum balas tidak lama lagi," katanya.

Beliau berkata, isu penipuan adalah sesuatu yang merisaukan apatah lagi kes kecurian identiti membabitkan platform itu yang turut melibatkan mangsa termasuk beberapa bekas menteri dan mantan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

"Kalau mantan Perdana Menteri pun pernah jadi mangsa kepada penipu melalui Telegram apatah lagi rakyat biasa, jadi saya lihat isu ini sebagai sesuatu yang serius dan perlu ditangani segera dan saya akan usahakan," katanya.

-- BERNAMA