PUTRAJAYA: Cubaan pasukan pembelaan Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menangguhkan perbicaraan berhubung rayuan akhir SRC International Sdn Bhd, sekali lagi menemui jalan buntu, apabila ia ditolak Mahkamah Persekutuan.

Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat sewaktu membacakan keputusan panel lima hakim itu berkata, masa yang telah diambil untuk kes tersebut, terutamanya hari yang telah ditetapkan untuk prosiding, bermaksud kes jenayah dan tertuduh lain perlu menunggu giliran untuk rayuan mereka didengari.

Tengku Maimun yang mengetuai panel lima hakim dalam menolak permohonan itu mengarahkan pihak pembelaan meneruskan rayuan utama mereka, Khamis ini.

“Keadilan yang ditangguhkan dalam kes ini, bermakna keadilan telah dinafikan kepada orang tertuduh yang lain,” katanya lagi.

Selain Tengku Maimun, panel hakim turut dibarisi Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim, dan tiga orang Hakim Mahkamah Persekutuan iaitu Datuk P Nallini, Datuk Mary Lim Thiam Suan, dan Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah.

BACA: Isu SRC: Mahkamah Persekutuan tolak permohonan Najib Razak untuk masukkan bukti baharu

Terdahulu, ketua pembelaan bekas Perdana Menteri itu, Hisyam Teh Poh Teik memohon penangguhan rayuan utama kepada sekurang-kurangnya tiga hingga empat bulan lagi memandangkan mereka baru sahaja dilantik.

Beliau berkata, pembelaan memerlukan lebih masa untuk melihat semula kesemua 179 ikatan dokumen berhubung kes tersebut.

Bagaimanapun Tengku Maimun berkata, berdasarkan rekod sebelum ini, mahkamah telah mengeluarkan peringatan kepada pihak terlibat sebanyak empat kali, bahawa rayuan akan diteruskan mengikut tempoh yang ditetapkan, iaitu antara 15 Ogos hingga 26 Ogos 2022.

Berdasarkan kes duluan, beliau berkata, panel hakim bersetuju bahawa akses kepada prosiding yang adil adalah sebahagian daripada kebebasan kehidupan peribadi, seperti yang termaktub di bawah Perkara 5(1) Perlembagaan Persekutuan.

Bagaimanapun Tengku Maimun berkata, hak itu bukan sesuatu yang mutlak.

Katanya lagi, jika penangguhan itu dibenarkan, ia akan membazirkan sejumlah besar dana awam, dan Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan serta Peraturan Perundangan memerlukan mana-mana tertuduh diadili seperti tertuduh yang lain.

Tertuduh, jelasnya lagi, tidak boleh membuat pilihan tersendiri berhubung pilihan mahkamah, pendakwaan, atau keseluruhan proses keadilan.

Berdasarkan alasan yang diberikan, Tengku Maimun berkata, panel hakim sebulat suara menolak permohonan Najib untuk menangguhkan rayuan sekurang-kurangnya untuk tempoh tiga hingga empat bulan akan datang.

Dalam sidang media susulan, Najib berkata, beliau amat terkejut dan kecewa dengan keputusan tersebut, khususnya permohonan memasukkan bukti baharu berhubung Hakim Bicara SRC International, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

“Saya percaya bukti baharu tersebut akan menunjukkan penglibatan Hakim Nazlan. Beliau sedar beliau mempunyai pengetahuan mendalam tentang transaksi 1MDB dan SRC International. Maka beliau ada pengetahuan mendalam tentang dua entiti ini.

“Saya juga percaya siasatan yang dilakukan SPRM akan membuktikan perkara ini juga. Malangnya kita gagal untuk berbuat demikian. Tetapi dalam rayuan akhir, saya berharap kita dapat menunjukkan kebenaran,” katanya lagi.

Sementara itu Hisyam berkata, beliau seperti kehilangan kata-kata susulan dua keputusan Mahkamah Persekutuan tersebut.

Katanya lagi, sebagai pasukan peguam bela Najib, mereka akan membuat keputusan pada Khamis ini, tentang langkah apa yang perlu dilakukan seterusnya.

“Kami akan memikirkan dan memberi pertimbangan terhadap perkara ini sedalam-dalamnya, kerana ini adalah pusingan terakhir rayuan.

“Saya kehilangan kata-kata kerana saya amat terkejut. Malah permohonan untuk menangguhkan rayuan pun tak diterima walaupun kami memberi hujahan yang lengkap.

"Saya fikirkan mahkamah akan bersimpati dan melaksanakan budi bicara mereka, dan memberi kelebihan kepada kami,” katanya lagi.