KUALA LUMPUR: Isu subsidi minyak masak dan subsidi di bawah kawal selia Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) antara persoalan yang akan dibangkitakn dalam persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Menurut aturan urusan mesyuarat dalam laman rasmi Parlimen, pertanyaan itu diajukan Ahli Parlimen Betong, Datuk Robert Lawson Chuat kepada Menteri KPDNHEP dan bagaimana agihan subsidi tersebut sampai ke golongan sasaran.

Chang Lih Kang, Ahli Parlimen Tanjong Malim pula bertanyakan Menteri Dalam Negeri mengenai gaji anggota polis yang paling rendah dan tahun bila kenaikan gaji anggota polis yang terakhir.

Selain itu Ahli Parlimen Jempol, Datuk Mohd Salim Sharif meminta Menteri Sumber Manusia menyatakan usaha yang telah dilakukan untuk menggalakkan caruman Skim Perlindungan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) bagi individu yang terlibat dalam bidang p-hailing dan e-hailing.

Sementara itu, Ahli Parlimen Batu, P Prabakaran mengemukakan pertanyaan kepada Menteri Perpaduan Negara mengenai satu rang undang-undang baru untuk menyokong isu perkauman.

Dalam persoalan itu, Prabakaran menyatakan Akta Perpaduan Negara atau 'Race Relation Act' yang akan bersifat adil dan saksama untuk semua kaum di Malaysia.

Turut menjadi tumpuan adalah pertanyaan Sim Chee Keong, Ahli Parlimen Bukit Mertajam kepada Menteri Belia dan Sukan mengenai laporan terperinci isu 'Did Not Start' (DNS) atlet paralimpik Malaysia, Muhamad Ziyad Zolkefli di Paralimpik Tokyo 2020 dan tindakan yang telah diambil terhadap pihak yang bertanggungjawab.

Menurut takwim Parlimen, persidangan Dewan Rakyat dijangka diteruskan dengan sesi penggulungan peringkat dasar Rang Undang-undang Perbekalan 2022 (Bajet 2022) oleh kementerian terlibat bermula Isnin hingga Khamis.

Sebelum ini, seramai 131 Ahli Parlimen blok kerajaan dan pembangkang serta bebas mengambil bahagian dalam perbahasan peringkat dasar Bajet 2022 selama tujuh hari bermula 1 November lepas.

Dewan Rakyat akan bersidang sehingga 16 Disember ini.