KUALA LUMPUR: Segala pendekatan dan strategi Kerajaan Malaysia berhubung isu tuntutan waris Kesultanan Sulu, tidak wajar sama sekali untuk didedahkan, baik di dalam Dewan Rakyat sekali pun.

Yang di-Pertua Dewan Rakyat Tan Sri Azhar Azizan Harun berkata, beliau membuat ketetapan itu sebagai tanggungjawab beliau untuk bersama-sama mempertahankan kedaulatan negara.

Tegasnya lagi, atas sebab itu beliau telah menolak usul Ahli Parlimen Kota Belud Isnaraissah Munirah Majlisi sebanyak tiga kali atas alasan sub judice – yang dikhuatiri akan mendedahkan langkah yang sedang diambil kerajaan tentang prosiding litigasi yang sedang berjalan.

“Kita sekarang sedang berbicara soal tuntutan Sulu. Ada ex-parte order, kena bayar AS$15 bilion. Mahukah kita berbincang dan sedang perbincangan itu dijalankan, kita tak tahu apa dikatakan?

“Maka terserlahlah strategi kerajaan untuk berbuat itu dan ini, dan maka akan ada kritikan terhadap tindakan terhadap kerajaan yang akan dibuat itu atau telah dibuat, maka pihak satu lagi boleh membacanya. Apakah itu tidak akan merosakkan kepentingan kerajaan dalam prosiding litigasi tersebut?” katanya lagi.

Azhar menegaskan, peraturan pertama dalam perundangan dan peperangan ialah elemen kejutan dan tindakan membenarkan perbahasan dilakukan secara jelas akan mendedahkan strategi kerajaan.

“Ini yang kita sedang mempertahankan kedaulatan kita, yang Ahli-Ahli Dewan Rakyat pertikaikan ini, (kononnya) ini kita tak pertahankan, kita sebenarnya sedang mempertahankan, dan (adakah) kita hendak dedah strategi kita kepada orang lain?

“Mahukah kita berbuat begitu? Adalah jadi tanggungjawab saya untuk tidak benarkan perkara ini,” tegasnya lagi.

Beliau berkata demikian selepas beberapa Ahli Parlimen di blok Pembangkang, yang bangkit mempersoalkan tindakannya menolak usul untuk membahas serta mendapatkan penjelasan Kerajaan tentang tuntutan tersebut.

Pada masa yang sama, Azhar turut membangkitkan amalan penguatkuasaan Parlimen dari Erskine May – “It is not an order for a Member of Parliament, to make further submission, while an application is being made.

Intervention is not permitted, nor a point of order normally taken. If the decision is that the application is not granted, further debate on the submission is out of order,” katanya lagi.

Terdahulu, Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Kementerian Luar Negeri khususnya harus memberi penjelasan terperinci tentang punca tuntutan itu berlaku.

Anwar mendakwa, isu tuntutan mula timbul susulan tindakan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menghentikan pembayaran kepada waris Kesultanan Sulu sejak 2013.

“Keputusan Perdana Menteri dari Pekan (Najib) yang buat kacau, sehingga ada masalah sekarang. Kalau diteruskan hari itu, perkara ini tak berbangkit. Perkara ini terbatal, bila dihentikan pembayaran itu atas alasan pencerobohan (di Lahad Datu).

“Tetapi perjanjian itu jelas, saya baca keputusan Mahkamah Borneo, semua ini penafsiran Kerajaan Inggeris, sehingga Kerajaan Malaysia … yang tak tahu berpuluh ke berbelas Peguam Negara, semua buat keputusan sama. Mesti bayar ikut keputusan ikut Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu pada 1939.

“Bila (pembayaran) dihentikan, mengapa kita biarkan. Satu keputusan yang merosakkan, mengganggu gugat, dan digunakan untuk mempersoal semua lain,” tambahnya. 

Atas sebab itu Anwar (PH-Port Dickson) berkata, beliau merayu dan menggesa Perdana Menteri atau Menteri Luar Negeri untuk memberi kefahaman kepada rakyat Sabah dan Malaysia, tentang isu yang menyentuh kedaulatan negara.

Jika gesaan itu tidak mendapat sokongan dari Ahli-ahli Parlimen Sabah, tegas Anwar lagi, rakyat Sabah akan menghukum mereka dalam Pilihan Raya yang akan datang.