KUALA LUMPUR: Axiata Group Bhd hari ini mengumumkan Datuk Izzaddin Idris akan meletakkan jawatan sebagai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) berkuatkuasa pada 31 Mei 2022, berdasarkan penamatan kontrak perkhidmatannya dengan kumpulan telekomunikasi tersebut.

Susulan itu, Pengerusi Axiata Tan Sri Shahril Ridza Ridzuan berkata Lembaga Pengarah telah melantik CEO perniagaan telekomunikasi Axiata dan Naib Presiden Eksekutif kumpulan Dr Hans Wijayasuria serta Ketua Pegawai Kewangan kumpulan Vivek Sood sebagai pemangku CEO bersama sementara berkuatkuasa pada 1 Jun, 2022.

"Mereka akan terus mengekalkan kedudukan dan portfolio masing-masing. Lembaga Pengarah juga dijangka tidak membuat sebarang penambahan struktur atau perubahan kepimpinan kanan dalam masa terdekat ini.

"(Sejajar dengan) pelantikan Dr Hans dan Vivek sebagai CEO bersama kumpulan, kami mempunyai dua peneraju industri yang amat arif dengan perniagaan Axiata. Mereka juga mahir dengan budaya serta komited terhadap kejayaan usaha-usaha kami," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Shahril Ridza turut mengucapkan terima kasih kepada Izzaddin di atas kebijaksanaan, kepimpinan serta sumbangan beliau dalam menerajui kumpulan itu sejak dua tahun lepas.

Izzaddin telah menyandang jawatan berkenaan pada 1 Januari, 2021 ketika kemuncak krisis COVID-19 selepas berperanan sebagai Timbalan CEO kumpulan berkenaan sejak Januari 2020.

Beliau juga menyifatkan Izzaddin berperanan penting dalam melakar tindak balas strategik kumpulan bagi memastikan kelangsungan kestabilan serta perniagaan yang berlatarbelakang persekitaran mencabar serta tidak dijangkakan yang merentasi sebahagian besar aspek operasi Axiata.

"Sebagai ahli Lembaga Pengarah Axiata yang berkhidmat sejak November 2016, beliau juga tangkas dalam menjayakan pelaksanaan Visi 5.0 Axiata.

"Beliau telah bertindak mengumpulkan pasukan terbabit, membangunkan budaya tangkas dan digital bagi menjayakan beberapa pencapaian penting yang meletakkan kumpulan di landasan trajektori kukuh untuk meraih bidang pertumbuhan baharu bagi masa depan yang lebih mampan," kata Shahril Ridza.

-- BERNAMA