Jabatan Hidupan Liar nafi 6,100 orang utan dibunuh di Sabah

Bernama
Februari 18, 2018 22:24 MYT
Laporan media asing itu dikatakan tidak berasas tanpa fakta dan bukti yang kukuh. - Gambar hiasan
Jabatan Hidupan Liar Sabah (SWD) menyangkal laporan media asing yang mendakwa bahawa 6,100 orang utan telah dibunuh di Sabah antara 1999 dan 2015.
Pengarah jabatan itu Augustine Tuuga, berkata dalam satu kenyataan pada Ahad, laporan itu tidak berasas kerana ia berdasarkan dapatan penyelidikan tanpa fakta dan bukti kukuh dikemukakan oleh tiga saintis yang berpangkalan di Sabah.
Beliau berkata, penemuan penyelidikan yang diterbitkan dalam jurnal PLOS pada 2004 menganggarkan bahawa populasi orang utan di Sabah ialah 11,000 dan bahawa pada masa kajian dijalankan, 60 peratus daripada populasi orang utan di Sabah dipercayai tinggal di luar kawasan-kawasan yang dilindungi.
Beliau berkata berdasarkan penemuan penyelidikan itu, kerajaan negeri Sabah melakukan usaha yang sangat serius untuk meningkatkan perlindungan populasi Orangutan di Sabah dengan mengisytiharkan dan mewartakan lebih banyak kawasan dilindungi dan kawasan yang lebih besar .
Beliau merujuk kepada laporan media asaing berdasarkan jurnal Current Biology yang dikarang oleh Maria Voigt dan hasil karangan bersama, antara lain, oleh Dr Marc Ancrenaz dari HUTAN yang berpangkalan di Sukau, Kinabatangan dan Dr Benoit Goossens, Pengarah Pusat Lapangan Danau Girang. -- Bernama
#Augustine Tuuga #bunuh #jabatan hidupan liar sabah #media asing #Orang Utan