KUALA LUMPUR : Sebuah jabatan atau institusi khas untuk kanak-kanak perlu ditubuhkan di negara ini bagi menjaga kebajikan dan kepentingan golongan kumpulan bawah umur itu.

Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam), Prof. Datuk Noor Aziah Mohd Awal
berkata, institusi sedia ada ketika ini menumpukan kepada pelbagai peringkat umur dan tiada jabatan khusus untuk kanak-kanak.

Menurut beliau, negara memiliki 9.7 juta kanak dan jumlah itu tidak sepadan untuk dijaga oleh pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

"JKM itu sendiri menjaga OKU (orang kurang upaya), mangsa banjir, akhirnya bahagian kanak-kanak itu di mana? Unit kanak-kanak di kementerian itu ada berapa orang? Itu tidak mencukupi.

"Kita perlukan bahagian kanak-kanak yang ada 300 ke 400 pegawai pelindung. Di negeri dan daerah pun, pegawai dia sekejap pakai topi (berkhidmat) pegawai pelindung, sekejap pakai topi pegawai pelindung, sekejap pegawai akhlak.

"Jadi saya harap kita perlu fokus dan kerajaan perlu serius untuk memberi perlindungan kepada kanak-kanak dan menjaga kepentingan dengan menubuhkan jabatan khas," katanya kepada Astro AWANI pada Rabu. 

Ujarnya, terdapat kira-kira enam kementerian yang ada ketika ini ditubuhkan untuk menjaga kebajikan kanak-kanak.

Namun, tiada institusi khas hanya untuk kanak-kanak ditubuhkan dalam kementerian berkenaan.

"Melalui pengalaman saya, sebelum ini, apabila kita menelefon Kementerian Pendidikan misalnya, mereka tanya saya encik nak bercakap pasal apa. Saya kata, saya nak cakap pasal kanak-kanak. Namun, kadang-kadang mereka ajukan kepada bahagian yang tidak fokuskan kepada kanak-kanak.

"Jadi, kita tidak boleh work in silo, kita perlu gabungan yang terbaik dan selaraskan dan baru nampak mantapnya memberi kepentingan kepada kanak-kanak," katanya.

Selain itu, Noor Aziah berharap satu talian khas untuk kanak-kanak diwujudkan bagi memudahkan golongan itu menghubungi dan meluahkan perasaan mereka terutama dalam kes pengabaian atau penderaan. 

"Kita perlukan satu talian khas supaya kanak-kanak sendiri boleh buat laporan.  Mesti ada pakar yang boleh berbual dengan mereka sebab kita ada kes mental stress kalangan mereka. Sekurang-kurangnya pakar itu boleh beri ketenangan kepada mereka," ujarnya.

Katanya lagi, kesalinghubungan koordinasi dan data melibatkan pengabaian dan penderaan kanak-kanak perlu diselaraskan.

"Bagi saya, perlunya koordinasi ini. Kita memang mengkoordinasi dalam Pesuruhjaya Kanak-Kanak. NGO  kanak-kanak juga perlu  terlibat. Namun, kalau tidak ada koordinasi, maka di mana penyelarasannya?

"Kita perlu ambil kes ini secara serius bagi mengelak kes penderaan berlaku. Kita perlu menambah baik sistem yang ada," tambahnya.