MELAKA: Jabatan Kesihatan Melaka melaksanakan pemberian vaksin tambahan bagi demam campak berikutan peningkatan kes berkenaan pada tahun lepas.

Pengarah Kesihatan negeri Datuk Dr Rusdi Abd Rahman berkata bilangan kes berkenaan meningkat sebanyak 175 peratus pada tahun lepas iaitu kepada 22 kes berbanding lapan kes pada 2021.

"Bagi daerah Melaka Tengah, terdapat peningkatan kes demam campak daripada empat kes pada 2021 kepada 15 kes pada 2022.

"Justeru, Pejabat Kesihatan Daerah Melaka Tengah akan menjalankan aktiviti imunisasi tambahan Measles (demam campak) bertujuan meningkatkan imuniti kelompok bagi mengurangkan jangkitan demam campak terutama dalam kalangan kanak-kanak dan penduduk di lokaliti berisiko seterusnya dapat menyekat penularan jangkitan di dalam komuniti," katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Rusdi berkata pemilihan lokaliti atau kawasan untuk pelaksanaan aktiviti imunisasi tambahan adalah menerusi penilaian risiko dijalankan oleh Pejabat Kesihatan Daerah berdasarkan bilangan kes dilaporkan, pencapaian liputan imunisasi dan penduduk yang berisiko tinggi di lokasi tersebut.

Beliau berkata di peringkat awal, imunisasi tambahan di daerah Melaka Tengah akan dijalankan di beberapa lokaliti terpilih di kawasan Bukit Rambai membabitkan aktiviti bancian dan memberi hebahan mengenai aktiviti imunisasi tambahan demam campak.

"Selain itu, pemberian suntikan imunisasi tambahan kepada bayi dan kanak-kanak berusia sembilan bulan hingga tujuh tahun dari rumah ke rumah bermula 1 Mac hingga 8 Mac 2023 bermula 8 pagi hingga 5 petang setiap hari termasuk Sabtu, Ahad dan cuti umum serta memberi nasihat dan perbincangan kumpulan kecil kepada penduduk berkenaan mengenai penyakit demam campak," katanya.

Beliau berkata aktiviti imunisasi tambahan demam campak itu juga akan dijalankan di daerah Jasin dan Alor Gajah berdasarkan penilaian risiko yang dijalankan dari semasa ke semasa.

"Jabatan Kesihatan menasihatkan penduduk sekitar dan masyarakat setempat memberi kerjasama kepada pasukan kesihatan yang bertugas bagi memastikan kelancaran pelaksanaan program ini," katanya.

Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan boleh menghubungi Bilik Gerakan Pejabat Kesihatan Daerah Melaka Tengah di talian 013-2077332/ 06-284080, Jasin (06-5293908 sambungan 206/135/013-7698713) dan Alor Gajah (06-3842533/ 06-3843012).

-- BERNAMA