KUALA LUMPUR: Draf pindaan rang undang-undang berkaitan cadangan pemansuhan hukuman mati mandatori akan disediakan Jabatan Peguam Negara.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Datuk Mas Ermieyati Samsudin dalam kenyataan berkata Jabatan Peguam Negara dan Bahagian Hal Ehwal Undang-undang (BHEUU) telah diminta mengkaji dan meneliti syor-syor yang dikemukakan berhubung perkara itu.

Beliau berkata ini susulan satu perjumpaan antara Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun pada Isnin lepas (20 Jun).

"Dalam masa yang sama, sesi libat urus turut akan diadakan bersama pakar-pakar akademik dan ahli Dewan Rakyat bagi mendapatkan pandangan lebih lanjut mengenai perkara ini sebelum dibentangkan di Parlimen pada Oktober ini," katanya.

BACA: Kerajaan bersetuju hukuman mati mandatori dimansuhkan

Menurutnya kerajaan amat berterima kasih atas kerjasama semua pihak yang terlibat dalam perkara tersebut dan berharap rang undang-undang itu dapat dilaksana dan dikuatkuasakan mengikut garis masa yang ditetapkan.

Kerajaan secara prinsipnya bersetuju dengan cadangan pemansuhan hukuman mati mandatori selepas Laporan Kajian Hukuman Gantian Terhadap Hukuman Mati Mandatori dibentangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada 8 Jun lepas.

-- BERNAMA