KUALA LUMPUR: Jabatan Penjara membenarkan perjumpaan peguam, polis, kedutaan dan pihak berkompeten yang lengkap divaksin dengan syarat serta garis panduan ditetapkan.

Jabatan Penjara dalam kenyataan hari ini memaklumkan pelawat perlu mengemukakan keputusan negatif ujian COVID-19 RT-PCR atau RTK-Ag (calitan/air liur) dengan tempoh sah laku tiga hari selepas pengambilan sampel dan tidak bergejala.

Kenyataan itu menyebut syarat berkenaan turut terpakai kepada penghuni penjara yang terlibat.

"Permohonan rasmi kepada Pengarah Institusi perlu dibuat sekurang-kurangnya tiga hari sebelum tarikh perjumpaan dan keputusan permohonan akan dimaklumkan sebelum tarikh yang dicadangkan.

"Pelawat yang tidak divaksinasi atas faktor kesihatan perlu mengemukakan surat pengesahan daripada Pegawai Perubatan bertauliah," menurut kenyataan itu.

Jabatan Penjara meminta orang ramai menghubungi institusi berkaitan untuk mendapatkan maklumat lanjut dan maklumat institusi boleh didapati di www.prison.gov.my.

-- BERNAMA