BUKIT GANTANG: Kerajaan berhasrat untuk memperluaskan inisiatif menjadikan masjid di seluruh negara sebagai pusat transit untuk mangsa keganasan domestik

Bagaimanapun, cadangan itu akan dibincangkan terlebih dahulu dengan pihak berkuasa agama negeri-negeri.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad berkata, inisiatif itu telah pun mula dilaksanakan di Wilayah Persekutuan di bawah Pelan Pengimarahan Masjid-Masjid Wilayah Persekutuan 2020-2024.

“Memang sepatutnya masjid ini kita nak jadikan satu pusat sehenti, kalau boleh kita nak tengok ada pusat-pusat perniagaan, tak nak lah masjid hanya dijadikan tempat sembahyang sahaja.

"Memang itu yang kita nak, kita tengok zaman kegemilangan Islam dulu, masjid (dijadikan) sebagai pusat pembinaan tamadun dalam sebuah negara," katanya.

Beliau ditemui selepas menyampaikan bantuan program Inspirasi Kasih YaPeim di Kampung Sungai Petai, dekat sini, hari ini.

Pada Mei, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) dengan kerjasama Jabatan Pembangunan Wanita (JPW), Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat telah menggerakkan inisiatif menjadikan masjid sebagai pusat transit untuk mangsa keganasan domestik.

Sebagai permulaan dua masjid dipilih sebagai perintis iaitu Masjid Wilayah Persekutuan dan Masjid Al-Ghufran Pinggiran Taman Tun Dr Ismail.

Bagaimanapun, kemudahan itu hanya untuk mangsa yang langsung tidak mempunyai tempat hendak dituju dan memerlukan perlindungan pada kadar segera.