KUALA LUMPUR: Kerajaan memberikan komitmen agar menghendap dijadikan sebagai satu jenayah di Malaysia.

Menurut Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Mas Ermieyati Samsudin, Kertas Dasar serta cadangan pindaan undang-undang dijangka dibentangkan kepada Jemaah Menteri Disember tahun ini.

Jelasnya, pindaan tersebut akan dibentangkan di Parlimen setelah mendapat persetujuan Jemaah Menteri.

"“Usaha untuk menjadikan menghendap sebagai satu jenayah telah bermula sejak tahun 2019 di mana satu Jawatankuasa 'Anti-Stalking' telah ditubuhkan.

"Sejak awal 2020, draf pindaan undang-undang (pindaan kepada Kanun Keseksaan dan Kanun Tatacara Jenayah) telahpun disediakan oleh Jawatankuasa Anti-Stalking, yang diterajui Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang dengan penglibatan agensi-agensi kerajaan lain dan NGO," katanya dalam satu kenyataan, pada Rabu.

Kenyataan itu dikeluarkan selepas Mas Ermieyati Ahli Parlimen Masjid Tanah itu mengadakan mesyuarat di Parlimen untuk membincangkan status kemaskini mengenai usaha menjenayahkan menghendap ataupun 'stalking', pada Selasa.

Mesyuarat ini diurusetiakan oleh Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), Jabatan Perdana Menteri dan dihadiri oleh agensi kerajaan termasuk Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat
(KPWKM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Peguam Negara, Majlis Peguam Malaysia, wakil-wakil dari pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) termasuk Women’s Aid Organisation (WAO) dan ahli-ahli akademik.

Dalam mesyuarat ini juga, tiga orang mangsa menghendap telah berkongsi pengalaman mereka dan masih tidak diberikan perlindungan disebabkan jurang yang wujud dalam undang-undang sedia ada.

Tambah kenyataan itu, WAO juga telah menyerahkan memorandum yang telah ditandatangani oleh 52 kumpulan dan petisyen yang disokong lebih 8,500 orang setakat ini, kepada Timbalan Menteri, yang menggesa Kerajaan segera menjenayahkan menghendap.

WAO dalam kenyataan sebelum ini berkata, lebih satu pertiga atau 36 peratus daripada 1,080 rakyat yang dikaji selidik di negara ini menyatakan mereka pernah diintai.

Dalam tinjauan terkini dijalankan firma penyelidikan pasaran, Vase.ai dan Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO), mendapati kira-kira 39 peratus daripada 513 wanita dan 32 peratus daripada 495 lelaki mengakui mereka pernah menghadapi perlakuan dihendap lebih daripada sekali dan ia dilakukan berterusan.