JAIPk minta pihak ketahui insiden Al-Quran dibuang buat laporan

Bernama
Ogos 2, 2017 09:37 MYT
MOHD YUSOP: Al-Quran perlu dikendalikan dengan baik dan jika mahu dilupuskan, ia boleh hantar ke pejabat agama terdekat supaya boleh diuruskan dengan sempurna. - Gambar fail
Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) meminta pihak yang mengetahui kes Al-Quran dibuang di kawasan pembuangan sampah yang didakwa berlaku di Rancangan Penempatan Tersusun (RPT) Chepor agar tampil membuat laporan kepadanya.
Pengarah JAIPk Datuk Mohd Yusop Husin berkata ini kerana Al-Quran terbabit perlu dilupuskan mengikut prosedur.
"Individu yang melakukannya tidak menghormati kitab suci tersebut malah tergamak membuangnya di tong sampah.
"Al-Quran perlu dikendalikan dengan baik dan jika mahu dilupuskan, individu tersebut boleh menghantar ke pejabat agama terdekat supaya ia boleh diuruskan dengan sempurna," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.
Beliau mengulas mengenai sekeping gambar memaparkan seorang lelaki berumur lingkungan 60-an menemui dan mengutip sebuah kotak mengandungi beberapa naskhah dipercayai Al-Quran yang dibuang di kawasan pembuangan sampah di RPT Chepor, yang tular semalam.
-- BERNAMA
#Al-Quran #Chepor #dibuang #Islam #JAIPk #lelaki #Mohd Yusop Husin #pelupusan #pembuangan sampah #RPT