Kerjasama strategik di antara Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan syarikat-syarikat korporat harus digembleng bagi memberi kefahaman dan dakwah Islam yang sebenar kepada setiap kelompok masyarakat di negara ini, kata Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Berucap ketika Majlis Pertemuan Rasmi Jakim bersama Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat-syarikat Korporat Malaysia kali ke-2 di sini malam tadi, beliau berkata Islam yang diamalkan di Malaysia adalah bersifat sederhana dan ia harus dikekalkan melalui kefahaman kepada semua kelompok masyarakat yang berbilang agama dalam kerangka ilmu yang benar.

"Malaysia adalah sebuah negara Islam seperti mana dalam definisi perlembagaan negara dan agenda dakwah harus digembleng secara bersama dan bersifat senergi," katanya.

Beliau menambah usaha dakwah tidak seharusnya hanya di kalangan agensi kerajaan tetapi harus juga melibatkan syarikat swasta supaya kefahaman agama Islam dapat dipertingkatkan kesemua lapisan masyarakat termasuk bukan Islam.

"Kita harus fahamkan kepada mereka bahawa Islam adalah agama yang dinamik bukan bersifat ekstrem, rigid atau kuno tetapi Islam bersifat segar dan memberikan rahmat kepada semua termasuklah yang bukan Islam," katanya.

Majlis yang dianjurkan oleh Sekretariat Dakwah Korporat Jakim tersebut adalah sebuah program kesinambungan dari program kali pertama yang telah diadakan tahun lepas.

Sekretariat Dakwah Korporat Jakim adalah sebuah Jawatankuasa Pemandu bagi pelaksanaan program dan aktiviti dakwah dalam kalangan sektor korporat di Malaysia.