KUALA LUMPUR: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menasihatkan semua pihak supaya menghormati proses penentuan rasmi tarikh hari raya di negara ini.

Ketua Pengarah Jakim, Datuk Hakimah Mohd Yusoff berkata proses tersebut telah dilaksanakan sejak sekian lama dan menyerahkan tanggungjawab tersebut kepada pihak berautoriti.

Jelasnya, Malaysia menggunakan kaedah Rukyah dan Hisab dalam menentukan awal bulan hijri termasuk tarikh awal puasa, Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha selaras dengan kehendak syarak dan mengikut kaedah ilmu falak serta astronomi yang telah dipersetujui semua negeri.

"Berkaitan penentuan awal Syawal 1443H atau tarikh Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini, aktiviti cerapan rasmi di seluruh negeri di Malaysia akan dilaksanakan di 29 lokasi pada petang Ahad, 29 Ramadan 1443H bersamaan 1 Mei 2022M.

"Aktiviti cerapan anak bulan ini dilakukan oleh Jawatankuasa Melihat Anak Bulan/Rukyah Negeri yang dipengerusikan oleh Sahibus Samahah Mufti Negeri dan ahlinya terdiri daripada pakar falak, alim ulamak, pegawai falak yang berkemahiran serta Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM).

"Data rukyah yang digunakan adalah data rasmi untuk Malaysia yang dikeluarkan oleh JUPEM," memetik kenyataan yang dikeluarkannya hari ini.

BACA: Raya tetap Selasa ikut metodologi saintifik

BACA: Pemakluman awal dakwa Aidilfitri jatuh pada 2 Mei tidak benar - Balai Cerapan Al-Khawarizmi

Menurutnya, pengumuman rasmi tarikh Hari Raya Aidilfitri akan dibuat oleh Penyimpan Mohor Besar Raja Raja (PMBRR) selaku pihak berkuasa yang diamanahkan oleh Majlis Raja-Raja pada malam tersebut tertakluk kepada hasil aktiviti cerapan anak bulan di semua lokasi yang telah ditetapkan.

Terdahulu seorang individu bernama A Zaharim A Aziz mendakwa data yang diperoleh daripada Pejabat Almanak Nautika Baginda (UK) menunjukkan ketinggian dan pemanjangan anak bulan baharu pada waktu matahari terbenam bagi Kuala Lumpur adalah masing-masing 5 darjah dan 7 darjah.

“Ini bermakna dengan kaedah Imkanur Rukyah, hilal baharu kelihatan walaupun tidak dapat dilihat kerana cuaca buruk.

“Oleh itu, selepas proses pengesanan selesai, Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja hendaklah mengisytiharkan bahawa 2 Mei 2022 (Isnin) adalah 1 Syawal 1443H, sehari lebih awal daripada tarikh yang dinyatakan dalam kalendar rasmi,” menurut kenyataan individu tersebut, seperti yang disiarkan dalam sebuah portal tempatan.