Pihak yang mendakwa pegawai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) tidak mempunyai integriti dalam proses pensijilan halal seharusnya tidak berbuat demikian tanpa bukti.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Fuziah Salleh berkata tuduhan yang dilemparkan itu adalah serius dan boleh menjejaskan nama baik Jakim yang sememangnya amat menjaga segala aspek berkaitan halal.

"Jakim amat menjaga integriti dalam soal sijil halal yang melibatkan pemberian sijil dan akreditasi yang memang di bawah tanggungjawab agensi tersebut.

Bagaimanapun, jika ia berkaitan dengan pembangunan industri seperti bimbingan usahawan untuk memperoleh sijil halal, ia bukan di bawah Jakim," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Sambutan Deepavali 2019 di sini, hari ini.

Fuziah yang juga Ahli Parlimen Kuantan berkata dakwaan itu yang dibuat tanpa bukti juga dikhuatiri dibuat dengan niat tidak baik, dan pihak yang terlibat seharusnya mengemukakan bukti bagi menyokong dakwaan tersebut.

Beliau juga mengingatkan pihak terlibat untuk segera mengemukakan bukti kepada Jakim yang telah bersedia untuk mengambil tindakan undang-undang, sekiranya perlu.

Pada 10 Okt lalu, sebuah artikel bertajuk 'Malaysia Halal Crisis' oleh Murray Hunter disiarkan di laman web Asia Sentinel mendakwa berlaku isu integriti dan kompetensi kakitangan JAKIM dalam proses pensijilan halal Malaysia.

Artikel itu antara lain mendakwa seorang pegawai Jakim meminta bayaran bagi tujuan pendaftaran premis pemprosesan daging selain pegawai sombong dan enggan membantu.

-- BERNAMA