ISKANDAR PUTERI: Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) tidak berdepan dengan masalah antivaksin dalam kalangan masyarakat Orang Asli di negara ini.

Ketua Pengarahnya, Sapiah Mohd Nor berkata, hal ini kerana pendedahan dan penerangan mengenai vaksin COVID-19 serta Tok Batin yang memainkan peranan telah memudahkan proses vaksinasi masyarakat Orang Asli.

"Ada sebilangan sahaja yang tidak mahu divaksin kerana takut dan mengambil pendekatan tunggu dan lihat.

"Tetapi setelah kita memberi pendedahan dan penerangan mereka sambut baik. Mereka juga memerlukan idola, jika Tok Batin memainkan peranan dan menjadi contoh yang baik, ia tidak akan menjadi masalah dan mereka semua akan ikut," katanya kepada pemberita selepas Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) Masyarakat Orang Asli di Kampung Orang Asli Simpang Arang di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas sekiranya jabatan itu berdepan masalah antivaksin dalam kalangan masyarakat Orang Asli.

Sementara itu, Sapiah berkata setakat semalam sebanyak 43 peratus daripada 144,180 Orang Asli yang berusia 18 tahun ke atas di seluruh negara, telah lengkap menerima vaksin COVID-19.

"Program pemberian vaksin sentiasa berjalan dan saya menjangkakan kita boleh capai anggaran ke arah 60 peratus lengkap vaksin hari ini," katanya.

Beliau berkata Johor merupakan antara negeri dengan kadar vaksinasi terendah dan menjelaskan setakat semalam sebanyak 39 peratus iaitu 4,638 daripada 11,884 Orang Asli telah lengkap menerima vaksin.

"Setakat ini juga, seramai 871 Orang Asli telah dijangkiti COVID-19 di Johor dengan jumlah paling ramai di daerah Johor Bahru iaitu 604 pesakit, manakala rekod kematian adalah 10 orang hingga kini, " katanya.

Bagi program bantuan bakul makanan pula, beliau berkata Kementerian Pembangunan Luar Bandar telah memperuntukkan sebanyak RM1.53 juta untuk tujuan itu dengan RM49,528 peruntukan bakal memanfaatkan 1,165 penduduk Kampung Orang Asli Masai dan Kampung Orang Asli Simpang Arang di Johor.

-- BERNAMA