Jalan Paitan-Kanibongan mendap, rosak teruk akibat tanah runtuh

Radhi Muslim
Januari 20, 2021 13:32 MYT
Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 malam itu, kuarters Loji Rawatan Air Paitan turut terlibat dengan runtuhan berkenaan. - Astro AWANI
BELURAN: Sebahagian jalan raya Paitan ke Kanibongan mengalami kerosakan teruk selepas mendap akibat tanah runtuh di Kilometer 127.5, berdekatan Kampung Kubambangan, pada Selasa malam.
Ketua Polis Daerah Beluran, Superintendan Kassim Muda berkata, dalam kejadian kira-kira jam 11.30 malam itu, kuarters Loji Rawatan Air Paitan di situ turut musnah dalam runtuhan berkenaan.
"Sebelum ini hujan lebat berterusan berlaku di kawasan berkenaan. Kejadian tersebut mengakibatkan jalan raya utama berdekatan Loji Air di Paitan mengalami keretakan tanah dan runtuhan yang besar. Dalam masa sama bangunan Kuarters Loji Air menggelongsor akibat runtuhan tersebut.
"Namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan kerana rumah tersebut tidak didiami oleh pekerja. Akibat daripada runtuhan tersebut laluan jalan raya terputus dan tidak dapat dilalui," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Beliau berkata, pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) sudah dimaklumkan untuk tindakan selanjutnya.
Jelasnya, papan tanda amaran turut dipasang di lokasi terbabit.
#jalan #tanah runtuh #loji rawatan air #polis #kemalangan #jalan runtuh #terputus hubungan #Sabah #Paitan #kanibongan