Jalan rosak, pembetung runtuh gara-gara hujan berterusan

Hafizi Rosli
November 25, 2020 05:05 MYT
Hujan lebat yang melanda Terengganu sejak Isnin menyebabkan hampir 20 meter jalan di Kampung Petaling, Kuala Nerus runtuh.
KUALA NERUS: Hujan lebat yang melanda negeri-negeri pantai timur mengundang banyak keresahan dalam kalangan penduduk, khususnya yang bimbang cuaca buruk itu menjejaskan jaringan perhubungan atau kediaman mereka.
Di Terengganu, hujan lebat sejak Isnin menyebabkan sebatang jalan sepanjang hampir 20 meter di Kampung Petaling, Kuala Nerus rosak teruk akibat hakisan struktur tanah.
Dalam kejadian yang disedari penduduk kira-kira jam 11 malam Isnin itu, bukan hanya jalan raya yang rosak, malah menyebabkan pembetung di jalan utama di kawasan itu turut runtuh.
Kejadian itu juga menyebabkan lebih 10 buah rumah penduduk ditenggelami air sedalam satu meter.
Menurut seorang penduduk, Norizan Mohd Noor, 54, kejadian itu mengejutkan mereka sekeluarga.
"Air mula naik sekitar jam 9 malam dan kami terkejut kerana sebelum ini tidak pernah berlaku banjir sebegini kerana ia naik secara tiba-tiba," katanya.
Seorang lagi penduduk, Abdul Wahid, 63, berkata pembetung itu pecah mungkin kerana hujan sejak beberapa hari lalu menyebabkan arus deras.
"Projek itu dibuat sejak beberapa bulan lalu dan kejadian banjir itu didakwa pertama kali berlaku sejak menetap di kampung itu lebih 60 tahun," jelasnya
Insiden itu menyebabkan penduduk terpaksa menanggung kerugian ribuan ringgit selepas barangan elektrik, kenderaan serta perabot ditenggelami air.
Susulan daripada itu, 31 mangsa daripada 10 buah keluarga dipindahkan sementara ke Sekolah Kebangsaan Bukit Guntong.
#banjir #terengganu #Kuala Nerus #jalan runtuh #hujan lebat #cuaca buruk #kampung petaling