KOTA KINABALU: Jalan utama yang menghubungkan daerah Penampang-Tambunan terputus akibat mendapan dan runtuhan tanah di Kilometer 52.35, selepas hujan lebat berterusan.

Menurut Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Farhan Sufyan Borhan, kejadian berdekatan Air Terjun Masakob itu dilaporkan berlaku sekitar jam 7 malam tadi.

Jelasnya, siasatan awal mendapati, jalan berkenaan terputus sepanjang hampir 30 meter.

“Jalan berkenaan dipercayai runtuh sepenuhnya sehingga tidak boleh dilalui sebarang jenis kenderaan dan kini dikategorikan sebagai berbahaya.

“Bagi pengguna jalan yang menghubungkan dua daerah ini boleh menggunakan jalan alternatif iaitu Jalan Ranau-Tambunan melalui Jalan Kimanis-Keningau,” katanya ketika dihubungi.

Farhan berkata, pihaknya juga telah memasang tanda amaran kepada pengguna jalan supaya tidak melalui jalan berkenaan.

Setakat ini, tiada sebarang kemalangan jiwa atau kenderaan yang berlaku di lokasi kejadian.

“Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tambunan kini diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga sekiranya terima panggilan kecemasan di lokasi berkenaan,” katanya.