BAGAN DATUK: Pembinaan Jambatan Bagan Datuk di daerah Hilir Perak, bakal memberi manfaat kepada lebih 70,000 pengguna jalan raya, khususnya mereka yang tinggal di daerah itu.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, pembinaannya yang dimulakan pada 2017 kini sudah lengkap dan hanya menunggu masa untuk dibuka kepada orang awam dalam masa terdekat.

Menurutnya, jambatan sepanjang 1.5 kilometer itu menyeberangi Sungai Perak menghubungkan dua kawasan Parlimen iaitu Bagan Datuk dan Pasir Salak.

“Ia dapat memendekkan perjalanan ke pekan-pekan kecil dari kawasan sekitar Pekan Bagan Datuk, Selekoh, Sungai Sumun dan kampung-kampung lain yang berdekatan ke Kg. Kayan, Pekan Sri Iskandar, Bota, Parit, Changkat Lada di Perak Tengah, Sitiawan, Manjung dan Lumut,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini

Menurutnya, sebelum ini, jarak perjalanan menggunakan Laluan FT069 dan FT005 akan mengambil masa lebih sejam dengan jarak perjalanan melebihi 50 kilometer.

Sebaliknya, kata beliau, dengan adanya Jambatan Bagan Datuk, perjalanan hanya mengambil masa kurang 15 minit sahaja.

“Bukan itu sahaja, saya percaya kesan limpah pembinaan jambatan ini juga akan membantu merancakkan aktiviti dan pertumbuhan ekonomi kawasan setempat, disokong dengan rangkaian hubungan, aksesibiliti dan mobiliti,” ujarnya.

Katanya, jambatan itu juga bakal memanfaatkan lebih 70,000 penduduk sekitar termasuk pelajar  beberapa institusi pendidikan berdekatan seperti Maktab Rendah Sains MARA, Sekolah Asrama Penuh Bagan Datuk (SABDA) dan Politeknik Bagan Datuk.

Beliau mengucapkan syabas  kepada semua pihak terlibat, terutamanya Timbalan Perdana Menteri yang juga ahli Parlimen Bagan Datuk, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang telah berusaha keras dan bertungkus-lumus bagi memastikan kejayaan pembinaan jambatan tersebut.