Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menjelaskan bahawa pihak Jabatan Peguam Negara (AGC) telah menasihati kerajaan mengenai status sah jika sebarang perubahan dibuat ke atas Tambak Johor, di bawah undang-undang antarabangsa.

Menjawab persoalan mengapa projek ‘jambatan bengkok’ tidak diteruskan, Perdana Menteri melalui laman blog NajibRazak.com memberitahu bahawa AGC telah menasihati bahawa saluran paip air di Tambak Johor tertakluk dalam perjanjian Air Johor-Singapura (1961, 1962).

“Antara lain ia menggariskan bahawa saluran paip itu merupakan milik Lembaga Utiliti Awam (PUB) Singapura,” kata beliau.

Ini bermakna, sebarang perubahan ke atas saluran paip tersebut perlu diluluskan terlebih dahulu oleh PUB Singapura.

“Soal adakah kita cukup berani untuk berdepan dengan Singapura seharusnya tidak timbul. Jambatan itu tidak dibina kerana Malaysia komited untuk mengikut semua perjanjian yang telag ditandatangani,” kata Najib.

Beliau menjelaskan, jika projek ‘jambatan bengkok’ itu diteruskan bagi menggantikan Tambak Johor tanpa mendapat persetujuan bersama PUB Singapura, ia dianggap telah melanggar hak harta di bawah undang-undang antarabangsa.

“Kita telahpun memperbaiki hubungan dengan jiran Selatan kita iaitu sekarang ini kedua-dua negara bergandingan dalam projek dan usahasama dalam situasi menang-menang,” jelas beliau.

Tambah Najib, untuk mempertingkat hubungan dua hala antara Malaysia, kerajaan sedang membina projek kereta api laju dan mencadangkan idea jambatan persahabatan yang tidak melanggar undang-undang antarabangsa.

“Kita membina sesuatu yang dimahukan oleh kedua-dua negara,” kata beliau.