PAPAR: Kementerian Pendidikan (KPM) menerusi Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) akan membekalkan jaket keselamatan untuk murid dan guru yang menggunakan bot ke sekolah berikutan jambatan rosak di kampung Nangkawangan Nabawan.

Timbalan Menteri Pendidikan II, Datuk Mohamad Alamin, berkata inisiatif tersebut diambil susulan kerajaan akan membekalkan beberapa bot untuk murid Sekolah Kebangsaan (SK) Nangkawangan, termasuk penduduk kampung bagi menyeberang sungai sementara menunggu jambatan gantung yang baharu siap dibina.

Katanya, KPM tidak akan berkompromi dalam isu membabitkan keselamatan pelajar sekolah di negara ini.

"Kita tidak pasti berapa lama jambatan gantung yang akan dibina semula itu siap, jadi jalan perhubungan akan menggunakan bot.

"Untuk itu KPM mengarahkan JPNS menguruskan pembekalan jaket keselamatan. Kita akan membekalkan jaket keselamatan kepada murid dan pelajar di sekolah yang terlibat, semua guru dan kakitangan sekolah yang lain juga," katanya kepada pemberita dalam sidang media yang diadakan di Pusat Khidmat Rakyat di Kimanis, pada Sabtu.

BACA: Video tular pelajar sekolah naik rakit, 'dron' seberang sungai di Nabawan

BACA: Isu jambatan gantung putus di Nabawan bukan dalam kawasan sekolah

Tambah beliau, demi keselamatan pelajar, pihaknya akan sentiasa mengambil berat isu keselamatan bukan saja di Nabawan tetapi di seluruh negara.

Sementara itu, katanya terdapat sebanyak lima kejadian jambatan gantung putus akibat banjir di Nabawan baru-baru ini, yang telah mengakibatkan empat sekolah terjejas laluan perhubungan.

"Saya ingin nyatakan bahawa ada beberapa sekolah lain juga yang terlibat selain SK Nangkawangan di mana ada lima jambatan gantung yang terputus bagi menghubungkan empat sekolah lain.

"Di SK Nangkawangan terdapat seramai 26 murid, lapan guru dan seorang kakitangan; SK Binanon seramai 44 murid, 11 guru dan seorang kakitangan; SK Mamagon, 35 murid, lapan guru dan seorang kakitangan dan SK Pohon Batu terdapat 30 murid, sembilan guru dan seorang kakitangan," katanya.

Justeru, beliau akan membuat semakan jika sekolah-sekolah lain memerlukan khidmat bot dan seterusnya membekalkan jaket keselamatan.

"Kita akan bekalkan kepada SK Nangkawangan kerana yang pasti bot ini digunakan di sana tetapi saya akan semak sekiranya SK Binanon, SK Mamagon dan SK Pohon Batu memerlukan khidmat bot dan kita juga akan bekalkan jaket keselamatan kepada keempat-empat sekolah ini," katanya lagi.

Terdahulu, rakaman yang memaparkan pelajar sekolah di Nabawan menaiki rakit dan 'zip line' untuk ke sekolah tular di media sosial.

Mereka terpaksa berbuat demikian susulan keadaan jambatan gantung yang mereka gunakan terputus akibat banjir.