KUALA LUMPUR: PLUS Malaysia Berhad (PLUS) mengesahkan Jambatan Pulau Pinang mengalami gangguan bekalan elektrik sejak jam 8.23 malam, pada Jumaat.

Menurut Ketua Perhubungan Libat Urus Strategik, PLUS, Syed Mohammed Idid, bekalan elektrik di kawasan sekitar pulau dan Seberang Jaya yang menghubungkan kepada jambatan juga turut terjejas buat sementara waktu.

“PLUS memohon maaf atas kesulitan akibat gangguan tersebut dan pihak kami sedang melakukan kerja-kerja membaik pulih bagi memulihkan situasi secepat mungkin.

"Pihak PLUS juga memohon kesabaran para pelanggan lebuhraya dalam memahami situasi dan pihak kami juga sedang memulihkan kembali bekalan elektrik di plaza tol dan jambatan dengan kadar segera,” katanya dalam satu kenyataan, pada Sabtu.

Mengulas lanjut, Syed Mohammed berkata, semua lorong kini telah berfungsi seperti biasa dan kami akan terus memaklumkan dari semasa ke semasa sebarang perkembangan terkini.

"Pelanggan yang sedang menuju ke jambatan dinasihatkan supaya memandu dengan berhati-hati dan memastikan jarak yang selamat dari kenderaan di hadapan setiap masa”, tambahnya.

Untuk maklumat terkini mengenai keadaan trafik, pelanggan lebuh raya dinasihatkan untuk mengikuti Twitter PLUS Trafik atau melalui Aplikasi PLUS.