Janda anak 11 rayu bantuan untuk kembali ke kampung halaman

Astro Awani
Februari 25, 2018 07:49 MYT
Amah Situn kini hidapi penyakit anemia dan buasir, sudah pasti mustahil untuknya bekerja dan menyara anak-anak serta Terengganu bukan lagi syurga indah buatnya.
Seorang ibu tunggal bersama sebelas anak dari bandar Paka, Dungun, Terengganu hidup menderita selepas suaminya hilang tanpa berita sejak sepuluh tahun lalu.
Menurut Amah Situn, 36 tahun, lebih malang, penyakit anemia dan buasir yang dideritainya menyukarkan beliau untuk mencari pekerjaan.
Lebih menambah penderitaan apabila wanita yang berasal dari Semporna, Sabah ini ditinggal suami dan tiada tempat tinggal tetap serta tidak mampu menyewa.
"Saya datang ke Semenanjung mengikut suami tetapi sekarang dia juga sudah hilang entah ke mana," katanya.
Bagaimanapun, keluarga berkenaan kini tinggal di sebuah bangunan yang dibiayai oleh Pusat Khidmat Pas DUN Paka.
Amah berkata, setelah sekian lama merantau tanpa hala tuju, dia berhasrat membawa pulang anak-anaknya yang berusia 2 hingga 20 tahun ke kampung halaman.
Bagaimanapun, adalah mustahil baginya untuk menampung kos pengangkutan termasuk penerbangan yang mencecah ribuan ringgit.
“Sudah lama saya dan anak-anak tinggal di Paka serta mengharapkan pertolongan dan belas ihsan sekeliling.
"Kami juga tiada tempat tinggal tetap dan sering berpindah-randah.
"Hampir RM3,000 diperlukan untuk seorang, bukan sahaja kos tiket kapal terbang tetapi kami perlu merentasi pelbagai lagi perjalanan untuk tiba di kampung,” katanya.
Tambahnya, sejak Januari tahun ini, anak-anaknya tidak dihantar ke sekolah kerana dia bercadang mahu mendaftar persekolahan di Sabah.
#ibu tunggal #janda #Sabah #Semporna #terengganu