Membawa atau menjadikan bersama patung permainan watak fiksyen, Ultraman atau sebarang ikon wira kanak-kanak seperti robot Transformers dan Toy Story sebagai makmum di dalam solat anak-anak adalah satu perbuatan yang sia-sia walaupun dengan niat mengajar untuk bersembahyang.

Penasihat Eksekutif Ilmuwan Malaysia (iLMU), Dr Fathul Bari Mat Jahya berkata, walaupun ada pihak menganggap ia remeh namun bukan sesuatu yang lucu untuk ditertawakan.

"Jangan sampai mengajar anak bersolat dengan membawa Ultraman dan semua patung-patung ini. Ia hanya fantasi yang tidak berfaedah, merapu serta sia-sia.

"Kenapa mahu jadikan patung-patung itu sebagai idola untuk mendidik anak bersolat? Macam kanak-kanak di Barat, mereka suka Cinderella, Frozen dan ia seperti sudah mula merebak kepada kanak-kanak di negara kita.

"Benda-benda ini semua tidak hidup, nanti anak-anak yang hendak bersolat jadi obses kepada patung ini dan lari daripada niat untuk bersolat pula," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Dr Fathul mengulas beberapa foto seorang kanak-kanak lelaki yang bersolat dan di belakangnya beberapa patung Ultraman serta ikon lain yang menjadi makmumnya.
Gambar seorang kanak-kanak menjadi imam solat kepada Ultraman, Transformers dan beberapa ikon permainan kanak-kanak tersebar di sistem pesanan WhatsApp - Sumber gambar WhatsApp


Gambar itu turut tersebar di ruang pesanan WhatsApp.

Sementara itu kata Dr Fathul, ibu bapa juga harus mengubah cara pembelajaran solat kepada anak-anak dengan menjadi imam kepada mereka.

"Ini tanggungjawab ibu bapa, ayah jadi imam dalam solat, bukan anak-anak jadi imam dan Ultraman jadi makmumnya.

"Lebih elok juga cerita kisah-kisah Nabi dan para sahabatnya agar anak-anak suka bersembahyang dan melakukannya mengikut cara Islam.

"Anak-anak sekarang rasanya lebih kenal jenis-jenis adik beradik Ultraman daripada mengetahui kisah sahabat nabi serta sejarah perkembangan syiar Islam," ujarnya.

BACA: Samakan Ultraman dengan Allah punca tindakan KDN

Ultraman merupakan ikon hero kanak-kanak yang dikatakan berketinggian 40 meter, mempunyai berat 35,000 tan dan berumur 20,000 tahun bumi di dalam fiksyennya.

BACA: KDN tidak haram Ultraman, cuma komik terbabit yang haram

Ikon fiksyen yang bermula sekitar tahun 1960-an itu dikatakan boleh mengangkat sebuah kapal tangki seberat 100,000 ton atau seberat dua kali berat raksasa Skydon di dalam cerita itu.