KUALA LUMPUR: Kerajaan harus membatalkan sebarang hasrat untuk menswastakan dan mengeluarkan (carve-out) Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang (LTSAAS) daripada rangkaian Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) dan membiarkannya diambil alih oleh pihak tertentu yang lain, kata pengerusi MAHB Datuk Seri Zambry Abd Kadir.

"Sekali lagi saya telah menyampaikan pandangan dan pendirian saya kepada pemegang tampuk kuasa mengenai kedudukan LTSAAS," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Zambry menekankan bahawa pelan Regenerasi LTSAAS yang dikemukakan oleh MAHB merupakan sebahagian daripada kerangka besar perancangan masa depan kerajaan ke arah industri penerbangan dan aeroangkasa negara iaitu Pelan Strategik Lapangan Terbang Kebangsaan (PSLTK) dan Pelan Tindakan Industri Aeroangkasa Kebangsaan 2030.

"Ini merupakan kenyataan saya kali ketiga yang membantah langkah penjualan LTSAAS.

"'Saya menghormati pendirian KESMA, KEPEMAB dan KEPMAS kerana mereka mewakili suara warga Malaysia Airports," tambah Zambry.

Pelan strategik dan komprehensif MAHB bagi pembangunan semula LTSAAS bertujuan mengembangkan ekosistem lapangan terbang itu, menggandakan jumlah pengendali global dan tempatan melebihi 100 untuk mewujudkan dan menyokong 19,000 tenaga kerja berkemahiran tinggi.

Kerjasama terbarunya dengan Teknopark Istanbul yang diumumkan pada Rabu bermatlamat membawa kepimpinan inovasi dan teknologi ke Subang Aerotech Park.

Langkah itu adalah sebahagian daripada rancangan pengendali lapangan terbang dalam memenuhi aspirasi LTSAAS untuk menjadi hab penerbangan aeroangkasa dan perniagaan di Asia-Pasifik.

-- BERNAMA