YAN: Orang ramai dan penduduk sekitar kawasan kaki Gunung Jerai dinasihatkan agar tidak melakukan aktiviti berkumpul beramai-ramai di beberapa kawasan yang dilanda kejadian kepala air, Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah Yan, Deputi Superintendan Shahnaz Akhtar Haji menyatakan, pihaknya menerima maklumat bahawa terdapat ramai penduduk berkumpul di lokasi berkenaan terutama di kawasan peranginan Alang Kenari pada Khamis.

Susulan itu, beliau telah menghantar beberapa pasukan bagi menyuraikan kumpulan berkenaan dengan kerjasama Jabatan Penerangan serta Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Tambah Shahnaz, tiada sebarang tindakan dikenakan sehingga pagi Jumaat dan menyatakan bahawa pihaknya akan memperketatkan kawalan di kawasan terbabit.

"Kita akan tengok dari semasa ke semasa, kalau ada yang masih berdegil kita akan ambil tindakan, setakat sekarang kita tidak ambil (sebarang) tindakan lagi,

"Daripada segi nasihat itu, (saya harapkan) supaya jangan (ada aktiviti) berkumpul (beramai ramai), dan (sentiasa) patuhi SOP sebab sekarang ni kita masih (berada dalam tempoh) PPN Fasa 1, memang berkumpul adalah dilarang, jadi kita memang tidak menggalakkan orang (ramai) untuk berkumpul"

Beliau berkata demikian ketika ditemui media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Yan, pada Jumaat.

Dalam perkembangan sama, IPD Yan dengan kekuatan 18 orang pegawai dan 22 anggota akan melaksanakan pemantauan berterusan di lokasi bencana dan beberapa kawasan lain yang berpotensi dilanda kejadian bencana air.

Shahnaz turut menasihati penduduk agar sentiasa mengambil langkah awal terutama menyimpan dokumen dan barangan berharga di tempat yang tinggi.