KUALA LUMPUR: Orang awam tidak dibenarkan melakukan sebarang provokasi atau tindakan sendiri termasuk menembak Harimau Malaya sekiranya spesies itu memasuki kampung atau kawasan penempatan awam.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, tindakan itu bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini seperti diserang oleh haiwan tersebut.

Tegas Takiyuddin lagi, sebaliknya apa yang perlu dilakukan oleh orang awam sekiranya Harimau Malaya memasuki kampung ialah, berada di tempat selamat atau segera menghubungi pihak berkuasa.

"Tidak membuat sebarang provokasi atau tindakan sendiri seperti cubaan mendekati Harimau Malaya berkenaan.

"Cubaan untuk menghalau, apatah lagi membaling objek-objek, menembak atau membunuh harimau tersebut bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini seperti diserang harimau.

"Keperihatinan dan kesedaran orang awam terhadap spesies hidupan liar yang dilindungi seperti Harimau Malaya adalah sangat penting bagi memastikan kelangsungan hidupnya.

"KeTSA berharap isu konflik manusia dan Harimau Malaya dapat ditangani dengan baik tanpa menjejaskan keselamatan manusia, dan seterusnya mengekalkan spesies ikon negara ini," katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Takiyuddin berkata demikian menjawab soalan tambahan Wan Hassan Mohd Ramli (Pas-Dungun) apakah yang rakyat perlu lakukan apabila berlakunya situasi harimau masuk ke kampung dan kawasan penempatan awam.

Ini kerana, kata beliau perlu untuk melindungi nyawa manusia dan pada masa sama memelihara hidupan liar yang kian pupus itu.

Sebelum itu, Wan Hassan turut meminta penjelasan apakah langkah segera kementerian dalam menangani konflik antara manusia dengan hidupan liar khususnya harimau kerana kebelakangan ini 'pak belang' semakin kerap muncul berkeliaran di Dungun.

Menjawab pertanyaan tersebut, Takiyuddin berkata antara langkah segera yang diambil ialah menempatkan lima orang kakitangan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Daerah Dungun dan dibantu oleh 13 orang Renjer Hidupan Liar.

Selain itu, beliau berkata sebanyak dua unit perangkap kamera di sekitar kawasan Bukit Bauk yang juga merupakan salah satu kawasan tumpuan rekreasi orang awam bagi memantau kehadiran Harimau Malaya.

Pihaknya juga kata beliau telah menambah sebanyak 20 unit lagi perangkap kamera di kawasan sekitar sebagai langkah pemantauan jangka panjang.