PASIR PUTEH: Masyarakat dinasihatkan supaya tidak mendahului undang-undang dengan menghakimi seorang pendakwah terkenal susulan penyebaran video dan mesej lucah yang tular.

Pada masa sama, menurut Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary, tindakan menyebarkan aib seseorang juga dilarang dalam agama.

“Nasihat saya kepada penyokong atau penentang kepada mana-mana tersangka ini perlu berhati-hati supaya mereka tidak mendahului undang-undang kerana seseorang itu belum bersalah selagi tidak dibuktikan bersalah.

“Jadi, hormatilah proses undang-undang dan agama mengajar kita supaya tidak semberono menyebarkan aib seseorang itu sementelah lagi belum dipastikan benar oleh pihak mahkamah,” katanya di sini hari ini.

BACA: Belum ada individu dipanggil kes video, mesej lucah babit pendakwah

Beliau juga meminta supaya warga maya dan netizen menghentikan perdebatan dan penyebaran apa jua bentuk rakaman di media sosial berhubung dakwaan ke atas pendakwah berkenaan.

Jelasnya, isu berkenaan sudah menjadi siasatan oleh pihak polis sebelum sebarang tindakan susulan dilakukan oleh pihak berkuasa.

Beliau berkata demikian ketika diminta memberikan reaksi berhubung dakwaan yang dihadapi oleh pendakwah berkenaan sehingga menimbulkan perdebatan di media sosial.

Menyentuh mengenai usahawan kosmetik, Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman atau Nur Sajat yang kini ditahan di Thailand, beliau menjelaskan  prosiding undang-undang akan diteruskan sekembalinya Muhammad Sajjad ke tanah air.

Prosiding undang-undang ke atas Muhammad Sajjad tertangguh disebabkan dia gagal hadir ke mahkamah atas dakwaan di bawah Enakmen Jenayah Syariah Selangor.